Header

B Shoe – Kasut Pintar Untuk Mengelakkan Warga Emas Terjatuh

Nenek kami sudah mencecah usia melebihi lapan dekad dan sejak 7 tahun kebelakangan ni beliau tidak lagi boleh berjalan. Beliau hilang keupayaan berjalan selepas terjatuh di dalam tandas mengakibatkan keretakan pada pelvis.

Seorang lagi nenek saudara kami pula meninggal dunia selepas terjatuh ketika berjalan di dalam rumah. Agak menakjubkan “berjalan” dan “terjatuh” boleh mengakibatkan kematian apabila usia semakin senja.  Dianggarkan lebih dari 30% warga emas akan terjatuh kerana kegagalan mengimbangi badan selepas berusia melebihi 65 tahun.

B Shoe ialah sebuah kasut pintar yang dicipta bagi mengurangkan risiko pemakainya terjatuh. Menurut pengeluar B Shoe, bahagian tapak kasut ini mempunyai sistem runut bermotor yang dapat mengesan pemakainya mula kehilangan imbangan badan. Ianya kemudian secara automatik akan menggerakkan tapak kaki yang mula kehilangan imbangan ke belakang bagi menghalang pemakai dari terjatuh.

Menggerakkan kaki ke belakang adalah reaksi normal yang biasa kita lakukan apabila ingin terjatuh tetapi apabila kita semakin tua reaksi otak dan otot kita menjadi perlahan mengakibatkan kita gagal melakukannya dengan pantas. B Shoe berharap ciptaan kasut pintar mereka ini dapat mengurangkan jumlah warga tua yang terjatuh setiap tahun kerana ianya akan mengakibatkan ramai warga tua hanya mampu terbaring sehingga akhir hayat akibat kecederaan.

Penyelesaian B Shoe ini adalah penyelesaian barat. Malang sekali di Malaysia warga tua tidak memakai kasut di dalam rumah. Apakah agaknya penyelesaian kepada masalah nenek dan datuk kita yang terjatuh sehingga mengalami kecederaan kronik?

Adakah universiti tempatan yang menghasilkan projek tahun akhir yang mampu memberikan penyelesaian kepada masalah yang kita semua tahu bukanlah sesuatu yang baru. Jika anda ada penyelesaiannya sila lakukan sesuatu dan kongsikan kepada kami. Kami yakin ciptaan anda dapat mengurangkan insiden nenek dan datuk cedera kerana terjatuh di Malaysia.

Sumber B Shoe

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.