Header

Pas, Umno perlu lobi wakil rakyat Islam

KOTA BHARU - Susulan hasrat Kerajaan Kelantan mahu membentang rang undang-undang persendirian untuk perlaksanaan hudud di negeri ini, Pas dan Umno perlu melobi wakil rakyat Islam bagi mendapatkan kelulusan pembentangan tersebut.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad bagaimanapun berkata, takrifan terbaru tidak memerlukan pindaan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

“Ia bagus. Pas dan Umno sepatutnya bersedia melobi untuk menyokong rang undang undang ini, malah kebanyakan hakim sudah mentakrifkan Islam adalah agama persekutuan di negara ini. Ia sudah cukup untuk melaksanakan enakmen jenayah undang-undang Islam.

“Kuasa eksklusif berkaitan Islam sememangnya hak kerajaan negeri dan kita (Kerajaan Pusat) tiada masalah kerana itu sudah hak mereka, soalnya kenapa tidak buat? Kenapa salahkan pihak lain?,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Lundang, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan hukum hudud dapat dikuatkuasakan di negeri ini selewatnya Januari depan sekiranya tiada halangan Kerajaan Persekutuan untuk membolehkan rang undang-undang persendirian dibentangkan di Parlimen.

Alwi yang juga Adun Kok Lanas turut menasihatkan kerajaan negeri tidak perlu takut dan meminta mengazetkan perkara tersebut bagi meyakinkan semua pihak.

“Kerajaan Pusat hanya kata ada kekangan untuk laksanakannya, bukan menentang. Maksud tersebut perlu difahami, pemahaman rakyat perlu jelas,” katanya.

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.