Header

Zahid ikrar wala' pada Najib dengan Sumpah Wallahi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berikrar akan terus setia kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ia akan diterjemahkan dengan kerja keras membantu presiden Umno itu.

Katanya, taat setia yang dilafazkan itu bagi menangkis dakwaan yang dilemparkan ke atasnya iaitu mahu menggulingkan Najib.

“Wallahi, wabillahi, watallahi selagi saya diberi kepercayaan saya akan membantu yang amat berhormat presiden parti yang juga perdana menteri Malaysia.

"Saya akan terjemahkan kewalakan, ketaatsetiaan dan kerja keras untuk Datuk Seri Najib Abdul Razak, Insha Allah,”katanya dalam ucapan yang disiar secara langsung menerusi Facebook.

Zahid berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Alor Setar di Dewan Sultan Abdul Halim Muadzham Shah, Kolej Insaniah Alor Setar Kedah hari ini.

Kata Zahid, rakan dalam Umno termasuk mereka yang telah meninggalkan parti Melayu itu tahu mengenai rekod baiknya mempertahankan Najib.

Zahid malah turut menyindir pihak tidak dinamakan yang membuat dakwaan bahawa beliau akan menjatuhkan Najib.

“Ada cengkadak-cengkadak yang nyatakan saya akan jatuhkan PM. Cengkadak itu salah perhitungan sebab masa dia jadi ketua, siapa sahaja orang jadi nombor dua dia memang ada masalah dengan dia.

“Jadi orang nombor dua hormatlah orang nombor satu, jadi institusi kepimpinan akan selamat dan organisasi akan kukuh,” sindirnya.

Isnin lalu Mahathir mendakwa Zahid pernah menemuinya apabila dilantik sebagai timbalan perdana menteri untuk memohon simpati dan sokongan untuk menggantikan Najib.

Bagaimanapun semalam Zahid tampil menafikan dakwaan mahu menjatuhkan Najib dan menegaskan beliau mempunyai rakaman pertemuan itu.

Namun, Zahid tidak menghuraikan lanjut berkaitan jenis rakaman itu sama ada perbualan suara atau pun video.

Sementara itu Zahid berkata walaupun fizikalnya nampak letih, namun beliau mengetepikan semua itu demi Umno dan akan terus setia kepada Najib.

“Dari segi fizikal saya letih, tapi letih tidak ada dalam kamus kehidupan saya. Betapa letih saya ketepikan keletihan itu, betapa keringat yang saya terpaksa keluarkan.

“(Ia) demi Umno, demi Islam tanpa ketepikan agama lain, tanpa ketepikan kaum lain, marilah kita beri dukungan pada Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Sedia bersumpah laknat

Sementara itu, Zahid ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Baling di Kompleks Rakan Muda BT 42 Pulai, Baling hari ini menegaskan beliau bersedia untuk bersumpah laknat berhubung dakwaan Mahathir bahawa beliau merancang konspirasi untuk menjatuhkan Najib.

Tanpa menyebut nama Mahathir, Zahid berkata beliau tidak gentar untuk bersumpah kerana mempunyai bukti rakaman daripada pertemuannya dengan bekas perdana menteri itu.

“Saya ada rakaman dan gambar tentang pertemuan dengan orang itu. Saya simpan rakaman itu dan ia dinaratif.


“Saya sedia sahut cabaran dan sanggup sumpah laknat di masjid mana-mana pun bahawa yang merancang cuba jatuhkan perdana menteri adalah orang itu bukan saya.


“Tetapi orang itu juga mesti sanggup bersumpah juga,“ katanya.



....
Tokei Kangkung
http://tokeikangkung.blogspot.my/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.