Header

SPR Wujudkan Syarat Tambahan Penggunaan Bahan Kempen


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah membuat penyelarasan semula terhadap dasar sedia ada dengan mewujudkan syarat-syarat tambahan berkaitan penggunaan bahan-bahan kempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, syarat-syarat tambahan itu dibuat bagi memastikan aktiviti kempen melibatkan parti bertanding berlangsung secara aman dan lancar serta tidak mengelirukan pengundi.

"SPR menyeru agar setiap calon atau parti politik yang bertanding supaya tidak berkempen dengan cara yang boleh menimbulkan hasutan, permusuhan, mengembangkan perasaan jahat dan sebagainya selaras dengan Seksyen 4A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikut adalah syarat-syarat tambahan bagi penggunaan bahan kempen PRU14:

Pemasangan bahan-bahan kempen mestilah mempunyai permit untuk mempamerkan bahan-bahan kempen kepada orang ramai dalam bahagian pilihan raya yang ditandinginya. Permit bahan kempen tersebut akan dikeluarkan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri tertakluk kepada terma dan syarat yang ditentukan di bawah Seksyen 24B (4), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dihadkan kepada gambar dua orang pemimpin utama parti politik iaitu Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) bagi parti politik yang bertanding (berdasarkan kepada penggunaan lambang/simbol parti politik yang didaftarkan oleh calon semasa Hari Penamaan Calon).

Gambar untuk jawatan selain daripada Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) parti adalah tidak dibenarkan.

Bahan kempen tersebut boleh digabungkan atau diletakkan secara berasingan bagi gambar kedua-dua pemimpin utama parti politik.

Gabungan gambar pemimpin utama parti politik di atas satu bahan kempen yang sama hanya dihadkan kepada Presiden (atau setaraf dengannya), Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya), Pengerusi Perhubungan Negeri Parti (atau setaraf dengannya), Menteri Besar/Ketua Menteri dan calon (berdasarkan kepada penggunaan lambang/simbol parti politik yang didaftarkan oleh calon semasa Hari Penamaan Calon).

Jawatan selain daripada yang dinyatakan di atas adalah tidak dibenarkan.

Calon-calon yang bertanding mewakili parti politik dan ingin mengguna pakai lambang/simbol parti politik diminta agar memastikan lambang/simbol parti politik itu berdaftar dengan SPR.

Lambang/simbol parti politik bagi calon yang bertanding dan lambang/simbol parti komponen berdaftar sebagai gabungan/pakatan yang diwakili calon tersebut dibenarkan untuk dipamer secara bersama atau berasingan di bahagian pilihan raya di mana calon tersebut bertanding.

Mohd Hashim berkata syarat-syarat sedia ada seperti ditetapkan sebelum ini dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 masih terpakai kecuali berkaitan syarat-syarat tambahan yang dinyatakan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak termasuk pemimpin dan penyokong parti politik serta calon-calon yang bertanding untuk mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak berkuasa lain.

Katanya SPR berharap semua aktiviti berkempen untuk PRU14 yang akan bermula 28 April hingga 8 Mei ini berjalan lancar serta tidak mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan peraturan berkempen, Mohd Hashim berkata SPR telah menubuhkan 445 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di seluruh negara.

Antara fungsi PP-KPR adalah membuat rondaan dan aktiviti berkempen, menurunkan bahan kempen yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, meminta bantuan PDRM untuk memberhentikan calon/ejen atau parti politik yang tidak mendapat permit Ketua Polis Daerah serta mengawal dan menyelaras pelaksanaan aktiviti berkempen.

- Bernama

....
Tokei Kangkung
http://tokeikangkung.blogspot.my/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.