Header

Dr M tolak debat dengan Dr Boo tentang Dasar Pandang ke Timur


LANGKAWI: Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak cabaran untuk berdebat dengan ahli jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau mengenai Dasar Pandang ke Timur, sama ada dasar tersebut telah membantu memajukan negara secara keseluruhan.

Perdana menteri berkata, beliau tidak mahu berdebat dengan individu yang mempersoalkan dasar tersebut seolah-olah tidak tahu-menahu langsung akan manfaatnya selama ini kepada negara.

“Jika seseorang individu itu tidak tahu apakah yang sudah kita pelajari daripada Dasar Pandang ke Timur, tidak ada gunanya nak berdebat dengan dia,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di sini, petang tadi.

Dr Boo, dalam catatan di Facebook beliau, antara lain mempersoalkan manfaat yang diperolehi negara dalam mengacarakan perlumbaan berkelas dunia seperti Formula 1 dan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (Lima) 2019.

Katanya, tanpa pembaharuan dasar, termasuk pendidikan, acara tersebut tidak lebih daripada sekadar mainan yang menghiburkan para pemimpin.

Dr Boo menganggap kenyataannya sebagai cabaran rasmi kepada perdana menteri untuk membahaskan apakah yang sepatutnya dipelajari daripada dasar tersebut.

“Mengadakan Formula 1 dan Lima tanpa memperbaiki institusi dan sistem pendidikan kita, inilah apa yang dilakukan Dr Mahathir ketika ini. Masa depan negara berada dalam kegelapan.

“Seperti kata Anwar, menjaga kebajikan rakyat adalah keutamaan negara, tetapi ‘bermain’ alat senjata dan meriam hanya akan menjatuhkan negara berbanding menyelamatkan negara,” katanya.

Sempena Lima 2019, Dr Mahathir melancarkan rangka tindakan kerajaan yang pertama untuk pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia.

Bulan lalu, Dr Mahathir menyatakan hasrat untuk menganjurkan semula perlumbaan Formula 1 di Litar Antarbangsa Sepang selepas acara yang dimulakan pada 1999 itu dihentikan pada 2017 ekoran kekurangan penonton dan kos penganjuran yang tinggi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengeksport kepakaran sektor aeroangkasa ke luar negara.

“Kita tidak ada perbincangan untuk eksport bakat negara, sebaliknya mereka yang mempunyai kecekapan diminta kembali ke negara ini untuk membantu menaikkan kebolehan kita dalam sektor aeroangkasa,” katanya.

Lima kali ini menyaksikan penyertaan lebih 350 peserta dalam negeri dan 30 negara dalam pameran yang akan berakhir Sabtu ini.

Dr Mahathir melancarkan acara dwitahunan itu Selasa lepas, 28 tahun selepas pelancaran pertamanya pada 1991.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.