Logo tunggal PAS-Umno mampu gugat kesatuan PH
KUALA LUMPUR, 5 Mac — Penggunaan logo tunggal bagi Umno dan PAS mampu memberi saingan kepada Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis politik.
Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata fenomena itu mampu membangkitkan sentimen pengundi Melayu terutama mereka yang tinggal di luar bandar, lapor Star Online.
“Di peringkat akar umbi, jentera Umno dan PAS lebih kuat dan stabil berbanding Amanah dan Bersatu.
“Begitu juga di kawasan pedalaman, ramai orang Melayu terutama generasi lama selesa dengan penyatuan PAS dan Umno,” menurut penganalisis Universiti Malaya itu.
Portal sama mendakwa jika Umno dan PAS menggunakan satu logo, ia memberi ancaman serius kepada PH, jika mengambil kira keputusan pilihan raya umum lalu.
Sebanyak 21 kerusi parlimen dimenangi PKR, Bersatu dan Amanah dilaporkan bakal tergugat.
Jika undi yang diperolehi Umno dan PAS pada 9 Mei lalu dicampur, maka jumlahnya mengatasi undi yang diperolehi ketiga-tiga parti tersebut.
Situasi itu melibatkan sembilan kerusi PKR yang ditandingi beberapa pemimpin kanannya, sementara PPBM dan Amanah masing-masing terjejas di enam buah kerusi, lapor portal itu lagi.
Antara tokoh PKR itu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu), Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota).
Sementara pemimpin PPBM menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan menteri besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Tambun).
Manakala kerusi wakil rakyat Amanah Datuk Seri Mujahid Yusof di Parit Buntar dan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad di Kuala Selangor turut terkesan.
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
Post a Comment