Header

Slogan UMNO-Pas beri ancaman bukan Melayu


KUALA LUMPUR 13 Mac - Seruan yang digunakan dalam kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas iaitu ‘penyatuan orang Melayu dan Islam’ menyebabkan orang bukan Islam merasa terancam serta bahaya.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, ungkapan-ungkapan tersebut telah memberi gambaran kepada orang bukan Islam bahawa penyatuan dua parti itu berasaskan kebencian terhadap mereka.

“Mereka sendiri yang mewujudkan suasana dengan menggunakan ungkapan negara bahaya, terancam oleh orang bukan Islam maka menyeru menyatukan Melayu dan Islam.

“Kalau mereka menggunakan seruan sedemikian, tak salah bagi orang bukan Islam menganggap ia satu kesatuan yang berasaskan kebencian terhadap bukan Islam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengenai kerjasama UMNO dengan Pas akan memecah-belahkan rakyat dan menyebabkan negara menjadi seperti Afghanistan yang diperintah oleh Taliban jika dua parti itu berjaya membentuk kerajaan.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen memberitahu, kerjasama UMNO dan Pas itu bukan hanya mengancam Pakatan Harapan (PH) sebaliknya seluruh negara.

Kata beliau, ia berdasarkan propaganda yang dibawa kedua-dua pemimpin parti dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu.

“Mereka membenarkan isu bangsa dan agama, saya setuju dengan komen Kor Ming bahawa negara ini berkemungkinan menjadi seperti negara Taliban jika UMNO dan Pas menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya. - UTUSAN ONLINE.

DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.