Header

SPR setuju syarat baharu tukar alamat pada kad pengenalan


Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyambut baik syarat baharu untuk permohonan pertukaran alamat pada kad pengenalan bermula 2 Mei ini, seperti diumumkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

Menerusi pengumuman itu, semua permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan seperti bil elektrik, bil pembentungan, bil utiliti, cukai pintu, perjanjian jual beli rumah, perjanjiaan atau resit sewa rumah atau lain-lain dokumen bagi membuktikan telah menetap di alamat baharu berkenaan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya berpendapat bahawa langkah itu wajar dan akan membantu usaha suruhanjaya berkenaan untuk memastikan bahawa alamat pendaftar yang digunakan di dalam daftar pemilih adalah alamat yang benar.

“Ianya juga akan membantu membanteras apa-apa tindakan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendaftar pemilih di sesebuah kawasan atau pun memindahkan pengundi ke mana-mana kawasan dengan menggunakan alamat palsu atau kediaman pihak ketiga.

“Langkah tersebut dengan secara langsung, akan dapat membantu SPR mewujudkan daftar pemilih yang lebih tepat, berintegriti dan diyakini khususnya dalam isu kesahihan alamat yang digunakan sebagai alamat maustatin.

“SPR menyambut baik dan amat berterima kasih kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai langkah yang diambil tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.