Header

Bekas presiden MIC ramal Mat Hasan bakal PM


Bekas presiden MIC Dr S Subramaniam meramalkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau akan menjadi titik permulaan kepada peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah beliau juga menjangkakan calon BN pada PRK Rantau, Mohamad Hasan bakal dipilih sebagai presiden Umno seterusnya dilantik sebagai perdana menteri sekiranya BN berkuasa semula.

"Dalam politik sentiasa ada perubahan. Kerajaan hari ini mungkin ditukar esok. Maka peluang BN kembali jadi kerajaan sangat cerah.

"Sekiranya BN menang (PRU15), Tok Mat yang kini pemangku presiden Umno yang kemungkinan akan dipilih sebagai presiden Umno seterusnya berpeluang diangkat sebagai perdana menteri," katanya pada ceramah kelompok anjuran MIC di Kampung Baru Segga, Rantau semalam.

Justeru itu katanya adalah wajar bagi pengundi Rantau memilih Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat pada hari pengundian 13 April ini.

"Kemenangan dalam PRK ini adalah benih kepada Tok Mat menjadi PM. Untuk itu kamu perlu sokong Tok Mat. Kamu perlu faham ini dan buat yang sepatutnya," jelas bekas menteri kesihatan itu kepada kira-kira 50 orang yang hadir.



PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Mohamad, calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram dan dua calon bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan untuk mengisytiharkan kemenangan Mohamad pada PRU lepas sebagai terbatal.

Ini berpunca daripada tindakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang Streram daripada memfailkan kertas pencalonannya pada PRU14.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata kecuaian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi punca PRK itu diadakan.

"Ditempat lain juga adanya PRK bagi pelbagai sebab, tapi di sini tidak perlu adakan PRK sekiranya SPR tidak cuai. Saya pasti Tok Mat menang mudah pada PRU14 sekiranya bertanding. Kecuaian SPR punca Tok Mat dikambing hitamkan sehingga menghadapi PRK hari ini," katanya.

Mana 300,000 kaum India tiada kerakyatan?


Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam menyindir Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini mendakwa 300,000 kaum India tidak mempunyai dokumen kerakyatan.

"Saya masih cari 300,000 kaum India yang didakwa tidak mempunyai dokumen.

"Ketika, saya menjadi menteri saya sendiri menyerahkan 3,500 permohonan yang lengkap kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberi kerakyatan (kepada kaum India).

"Tapi, mereka (PH) kata nak beri kepada 300,000 kaum India, sekarang mereka dah jadi kerajaan selama setahun, saya masih cari di mana 300,000 orang yang disebut," katanya.

Secara berjenaka beliau berkata PH sehingga kini hanya memberikan kerakyatan kepada lapan individu sahaja.

"Kita beri mereka setahun untuk membetulkan, tiada apa yang berlaku. Sekarang kaum India kembali kepada kami," tegasnya.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.