Header

Ahli Parlimen gesa larang senator Australia Fraser Anning masuk ke Malaysia


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya hari ini bersetuju dengan gesaan untuk melarang senator dari Queensland Fraser Anning daripada masuk ke Malaysia selepas beliau menyalahkan orang Islam atas kejadian serangan di Christchurch minggu lepas.

Gesaan itu dibuat oleh Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang juga meminta Putrajaya bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan Interpol untuk menyenaraikan individu yang dikenal pasti merupakan pelampau kulit putih.

Lim berkata, individu berkenaan perlu dilarang daripada masuk ke Malaysia.

Marzuki berkata, beliau bersetuju dengan Lim dan perkara itu perlu diteliti oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Perkara itu termasuk dalam bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. Kita berharap data yang dikumpulkan boleh disalurkan kepada Kementerian Luar,” katanya semasa sesi usul khas bagi membahaskan serangan yang berlaku di New Zealand Jumaat lepas yang mengorbankan 50 nyawa dan menyebabkan berpuluh-puluh yang lain cedera.

8 ahli Parlimen membahaskan isu tersebut, dengan semua mereka mengutuk serangan berkenaan sebagai kejam.

Mereka juga memuji Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden kerana mengambil langkah segera berhubung perkara tersebut.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) berkata, sesetengah negara obses dengan nama Islam, tetapi insiden itu menunjukkan keganasan tidak mempunyai kaum atau agama.

“Pemprofilan suspek tidak harus didasarkan kepada nama Islam,” katanya, sekali gus meminta pihak berkuasa memantau orang asing yang masuk ke Malaysia sebagai pelawat untuk bekerja di sini.

Rizal Merican (BN-Kepala Batas) memuji Kementerian Luar kerana bertindak pantas untuk menjejak keluarga warga Malaysia di Christchurch.

Beliau mengkritik Anning kerana menyalahkan Islam sedangkan agama itu mengutamakan keamanan dan keharmonian.

Reezal berkata, dalam kes Israel, beliau tidak menyalahkan agama Yahudi, tetapi mengecam golongan Zionis.

Katanya, dalam konteks Myanmar, beliau tidak mengutuk ajaran agama Buddha, tetapi layanan buruk yang dikenakan ke atas orang Rohingya.

“Ini samalah dengan Islam, ia memberi fokus kepada keamanan dan keharmonian.”


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.