Header

Sultan Ibrahim titah Osman menghadap semula petang ini


JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, supaya menghadap baginda semula di Istana Pasir Pelangi, di sini, petang ini.

Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, baginda menitahkan demikian ketika beliau menghadap Sultan Johor pagi tadi.

“Pertemuan pagi tadi berjalan dengan harmoni dan ceria, malah saya sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada baginda.

“Tuanku mengambil surat (peletakan jawatan), namun baginda tidak membuka dan menganggapnya sebagai ‘souvenir’ (cenderahati) saja.

“Saya dititah untuk menghadap Sultan Ibrahim semula jam 6.30 petang ini. Apa yang akan dibincangkan saya tak pasti, namun perkara ini belum selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Osman yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, berkata Sultan Johor turut meletakkan syarat tertentu kepada penyandang Menteri Besar yang baharu.

“Jika peletakan jawatan saya diperkenan, baginda akan letak beberapa syarat kepada Menteri Besar baharu dan syarat utamanya, Ahli Majlis Kerajaan Johor (EXCO) perlu dirombak semula.

“Mungkin dalam soal ini akan ada perubahan besar Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kerajaan negeri,” katanya.

Ditanya jika Sultan Johor tidak memperkenankan peletakan jawatannya, Osman berkata itu adalah hak baginda.

“Namun, saya perlu akur dan taat kepada ketetapan parti. Saya ingin tegaskan bahawa peletakan jawatan adalah dengan rela hati dan bukan paksaan sesiapa,” katanya.

Osman berkata, beliau masih lagi Pengerusi BERSATU Johor, Pengerusi PH Johor dan Ketua Bahagian BERSATU Ayer Hitam.

“Saya akan terus memegang tiga jawatan parti berkenaan sehinggalah BERSATU membuat keputusan lain, ” katanya.

DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.