Header

Dia ganggu rumah tangga saya, kata ahli Parlimen PKR dituduh buat gangguan seksual


PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR mendakwa tuduhan beliau membuat gangguan seksual terhadap seorang wanita yang pernah berkhidmat dengannya adalah berniat jahat.

Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam mendakwa wanita terbabit sebenarnya menaruh perasaan terhadap beliau, selain cuba mengganggu rumah tangganya.

Kesavan mengakui mengenali wanita terbabit sekitar 2017 semasa beliau mengendalikan kempen membantah pemindahan pengundi hantu ke DUN Hutan Melintang ketika bergelar Adun di kawasan itu.

“Selepas saya menjadi ahli Parlimen Sungai Siput, dia menyatakan hasrat ingin membantu saya secara sukarela, walaupun dia sudah mempunyai keluarga.

“Pada ketika itu, dia berkelakuan seperti kawan kepada saya dan isteri. Pernah juga dia menjemput saya dan isteri untuk bercuti bersamanya di Melaka.

“Lama-kelamaan, kekerapan dia menelefon saya semakin bertambah sehingga berpuluh kali sehari. Jika saya tidak menjawab, dia mula marah. Apabila saya menjawab, ada kalanya perbualan melebihi lebih 1 jam setiap kali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam dilaporkan seorang wanita yang bekerja sebagai penyelidik Parlimen kepada seorang ahli Parlimen PKR mendakwa beliau diganggu berulang kali dan sudah membuat laporan polis.

Beliau mendakwa tingkah laku ahli Parlimen itu terhadapnya berubah antara Disember tahun lepas dan April tahun ini, di mana ahli Parlimen itu memanggilnya “ammu” dan “cayang” pada setiap kali pertemuan.

Wanita itu mendakwa setiap kali ahli Parlimen itu menangis dan memberikan alasan dia ketandusan kasih sayang dan ingin mencari cinta sebenar.

Katanya, pada hujung April wakil rakyat itu sering membuat panggilan video dan mempamerkan buku Kamasutra kepadanya serta gambar-gambar wanita yang lucah.

Kesavan berkata wanita itu sebenarnya cuba campur tangan dalam hal rumah tangganya dan memburuk-burukkan isterinya seolah-olah mahu perkahwinan mereka bermasalah.

Katanya, wanita itu juga mula mengaku sebagai pembantu khasnya dan menelefon pegawai kerajaan serta memberi arahan bagi pihaknya.

“Dia juga mendesak supaya diberikan pas untuk mengikuti saya ke persidangan Parlimen. Saya memberikan surat kepada pentadbiran keselamatan Parlimen untuk membenarkan dia masuk ke kawasan Parlimen,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata tidak mahu membesarkan perkara itu kerana bersimpati dengan wanita tersebut yang sudah mempunyai suami dan 2 orang anak.

Kesavan berkata beliau akan memberi kerjasama berhubung siasatan yang bakal dilaluinya, termasuk menyerahkan bukti yang menunjukkan gangguan dan ugutan yang diterimanya.

“Saya juga menyerahkan perkara ini kepada peguam-peguam untuk diambil tindakan undang-undang yang selanjutnya, untuk membersihkan nama saya dan isteri saya.”


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.