Header

Memberi kegembiraan, tanpa mengikuti Thanos


Sudah lebih seminggu filem Avengers: Endgame ditayangkan di pawagam dan sudah seminggu juga saya gagal mengeluarkan imej Thanos daripada fikiran.

Thanos ingin menghapuskan separuh populasi di alam semesta kerana katanya, ia akan membawa kebahagiaan lebih besar kepada semua penghuni alam.

Banyak perbincangan yang berlaku di internet tentang kewajaran dan kerelevanan motif Thanos. Saya setuju dengan pandangan bahawa menghapuskan separuh kehidupan di alam semesta bukanlah solusi terbaik terhadap semua masalah ini.

Seperti orang yang diburu Hawk Eye, jika ia berlaku secara rawak, tentu akan ada orang yang jahat terselamat. Namun, bukan itu yang menganggu fikiran saya.

Apa yang menganggu ialah: bagaimana jika Thanos betul? Adakah kita bersedia kehilangan atau menjadi makhluk yang hilang?

Zaman depresi dan kegusaran
Dapatan statistik Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan 1/3 daripada rakyat Malaysia mengalami depresi. Untuk rakyat yang berusia 16 tahun ke atas, 4.2 juta mengalami masalah kesihatan mental.

Walaupun kita sudah menukar kerajaan, ketidaktentuan dalam kehidupan masih berlaku. Tekanan kehidupan terhadap hal-hal material seperti harga barangan, kadar gaji yang rendah, rumah yang mahal boleh sering menyebabkan rakyat hidup dalam kegusaran.

Kegusaran tidak baik untuk kesihatan mental dan ramai mempelajarinya dengan cara yang sukar. Setelah menjadi dewasa, barulah ramai tersedar tentang realiti kehidupan yang mencabar.

Melainkan anda dilahirkan seperti Tony Stark, memiliki keluarga yang berada dan akal cerdas, anda mungkin akan disentuh oleh fasa-fasa kegusaran.

Sebab itulah saya tidak bersetuju apabila ada yang mengatakan semua orang yang miskin adalah kelompok yang pemalas. Jika Tony Stark dilahirkan sebagai Peter Parker, saya ragu dia akan memiliki sebuah syarikat senjata yang bernilai tinggi. Lahir dalam keluarga yang berada akan membantu seseorang itu lebih mudah untuk berjaya.

Di Amerika Syarikat, ada satu kajian yang diterbitkan oleh National Bureau of Economic Research yang menyokong premis ini.

Katakanlah solusi Thanos benar, adakah kita sanggup?

Pertanyaan ini adalah tiang kepada persoalan yang sudah seminggu menganggu saya. Selaku kelompok yang dilawati oleh masalah kegusaran, sudah tentu saya bersedia untuk “di-snap” oleh Thanos.

Menghentikan kegusaran adalah satu hal yang mahu dimiliki oleh semua orang yang gusar, melihat kaedah dihilangkan – ia bukanlah satu pilihan yang terlalu buruk.

Namun, bagaimana jika kita terselamat dan orang yang disayangi boleh terhapus? Bukankah itu akan membawa kesedihan yang lebih panjang. Bukankah pilihan untuk berdoa “di-snap” Thanos sedikit mementingkan diri? Pernahkah kita terfikir keadaan orang yang ditinggalkan? Sudah tentu mereka akan bersedih.

Seperti mana dalam falsafah Utilitarianisme yang kemungkinan besar diimani oleh Thanos – barangkali kesengsaraan yang wujud ini adalah untuk kebaikan yang besar pada masa hadapan. Namun sekali lagi saya katakan – saya tidak menyokong idea Thanos. Ia terlalu radikal. Namun jika Thanos wujud dalam alam realiti, maka saya tidak kisah jika “di-snap” Thanos.

Ia membawa fikiran saya kepada persoalan pengorbanan. Adakah ahli politik di Malaysia sanggup mengorbankan diri demi “greatest happiness for the greatest number of people” yang menjadi tunjang pemikiran Thanos.



Pakatan Harapan (PH) adalah umpama gabungan pelbagai bahan kimia yang tidak stabil. Ia boleh meletup pada bila-bila masa.

Memiliki koalisi politik yang tidak stabil dan pelbagai tidak semestinya bermaksud berita buruk – ada masa-masanya ia baik kerana ada lambakan ideologi dan pemikiran.

Dalam erti kata lain, ada banyak idea terhadap penyelesaian masalah mampu dijana. Namun adakah mereka sanggup mengorbankan falsafah politik, perjuangan peribadi, jawatan demi untuk mencipta pasukan yang utuh dan baik demi rakyat?



Jawapan kepada soalan ini terletak pada mata rakyat yang memerhati.

Kerajaan boleh mencapai objektif Thanos, tanpa membunuh sesiapa

Menghapuskan separuh hidupan tidak semestinya membawa “greatest happiness for the greatest number of people”. Namun menjadi kerajaan yang baik dan faham tentang permasalahan rakyat sudah tentu akan memberikan kegembiraan yang besar pada kebanyakan rakyat.

Hentikanlah idea pelik-pelik yang menggusarkan rakyat. Semoga PH memberi harapan dan kegembiraan kepada rakyat – ketika rakyat memilih PH, mereka ada kepercayaan 3,000 kali ganda kepada mereka.

Rahman Imuda


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.