Header

PM Umno hanya menyambung


DATO’ Seri Najib adalah Perdana Menteri (PM) bongsu dari spesies Umno yang mungkin tiada lagi sambungnya hingga kiamat.

Kini mantan PM itu menghadapi lambakan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang jika satu-satu dibicarakan mungkin sekurun pun tidak habis. Mungkin kita perlu menunggu datangnya kiamat dari menunggu semua kesnya.

Ikut sistem perundangan yang dipakai termasuk undang-undang Islam, yang dituduh tidak bersalah hinggalah ditentukan mahkamah.

PM Mahathir semasa penggal pertamanya dulu pernah berkata, seseorang tidak semestinya dihukum rasuah baru kita kata dia rasuah, tetapi disangsi bersihnya jika dia dilihat rasuah. Maka yang bersih rasuah itu bukan saja bersih rasuah tetapi mesti tidak dilihat rasuah.

Tohmah yang Najib hadapi kini sudah bertimbun, yang bakal dituduh juga bertimbun lagi. Tetapi apakah yang dilihat rasuah itu Perdana Menteri bongsu Umno itu saja? Tidakkah dia mewarisi sekalian Perdana Menteri sebelumnya?

Tiada yang sebelumnya ditakwil bersihnya kecuali Mahathir beberapa bulan sebelum menumbangkan Najib disuruhanjaya siasatan diraja dan disabitkan. Belum dikenakan hukuman.

Maka itu pun cukup untuk dikatakan tidak dilihat bersih. Siapakah sepanjang 60 tahun merdeka tidak melihat Malaysia dan pemerintahannya negara rasuah. Cuma tiada yang disebut jerung dimahkamahkan. Semua kata yang dimahkamahkan bilis-bilis belaka.

Saya pernah diberitahu Almarhum Bahaman Samsudin, menteri dalam Kabinet pertama Tunku sejak tahun 1955. Dialah pencadang Tunku Abdul Rahman Putra jadi Presiden Umno menggantikan Dato’ Onn dulu. Pernah jadi DO Lumut dan Teluk Intan. PRU 1955 dia bertanding di Hilir Perak termasuk Bagan Datok, Teluk Intan dan sebahagian Pasir Salak sekarang. PRU 1959 dia balik ke tanah airnya Negeri Sembilan. Tiada Umno menolak buntang dari ajak melainkan dia.

Awal 60-an dia bersara politik. Saya jumpa dia di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Saya tanya mengapa tidak jadi menteri lagi? Jawabnya, tidak mahu terlibat dengan kerajaan rasuah yang sudah bermula sejak merdeka.

Dia jarang keluar dalam surat khabar. Menteri yang tidak dikacau pembangkang di Parlimen. Cakapnya boleh dipercayai.

Jika Bahaman boleh dijadikan saksi, siapakah dalam Umno yang dipercayai bersihnya?

Masa mula-mula dulu tiada badan pencegah rasuah yang khas. Mungkin rasuahnya sekadar RM10 kerana berbasikal malam tak berlampu atau langgar lampu trafik. Tunku mana pernah cukup duit. Elaun PMnya tak cukup. Menteri Kewangan Tan Siew Sin dikatakan selalu bingung kerana cek yang Tunku keluarkan tidak berduit.

Kita tidak tahu apa yang Tun Razak dan menteri-menteri buat. Lepas 13 Mei 1969 Tun Dr. Ismail jadi TPM dan BPR (Badan Pencegah Rasuah) sudah dibentuk. Diangkatnya Harun Hashim jadi Pengarah BPR. Ditangkapnya pembesar Umno termasuk Menteri Besar. Menteri MCA pun ketakutan.

Selepas Tun Razak menggantikan Tunku, BPR mulai lembik. Jerung tidak masuk perangkap lagi. Ia seolah menghadapi bilis saja.

Dari zaman Tun Razak hingga ke zaman Dollah Badawi Malaysia dirasakan sudah di belakang Indonesia, Filipina dan Thailand. Rasuah dilihat sebagai sebahagian dari budaya bangsa. Parahnya rasuah Tun Abdullah tukar BPR jadi SPRM bagi membendung rasuah.

Tapi beras tidak jadi nasi lagi. Jadi bubur semuanya. Jadilah Najib Perdana Meneri bongsu Umno. SPRM sudah tidak bergigi. Tinggal gusi, gigi palsu pun tidak lekat.

Sejak lahir Najib hidup di tengah budaya dilihat rasuah. Sangkanya rasuah itu sebahagian watak Melayu. Dia sambung saja legasi semua PM sebelumnya.

SUBKY LATIF
– HARAKAHDAILY 18/5/2019

DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.