Header

‘Bagus’ dapat bersalam dengan Anwar, kata Saiful Bukhari



PORT DICKSON: Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan menyifatkan pengalaman bersalam dengan bekas “bosnya” semasa di pusat penamaan calon sebagai “bagus”.

Beliau berkata, telah lama beliau tidak berjumpa dengan Anwar.

“Telah lama tak berjumpa. Rasanya bagus. Kita seharusnya lebih matang dalam era demokrasi baru,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon di Majlis Perbandaran Port Dickson.

Terdahulu, Saiful dilihat bersalaman dengan bekas “bosnya” itu di pusat penamaan calon Majlis Perbandaran Port Dickson pagi tadi selepas kedua-duanya menghantar borang pencalonan msing-masing.

Saiful berkata, baginya beliau harus terus maju ke hadapan.

“Saya juga tidak setuju dengan serangan peribadi, kita seharusnya bercakap mengenai polisi,” katanya.

Saiful dalam masa yang sama turut menegaskan beliau tidak akan menggunakan “isunya” dengan Anwar sebelum ini sebagai bahan kempen sepanjang 14 hari berkempen di Port Dickson.

“Saya punya naratif bukan tentang kes itu. Ia adalah mengenai perkara lain dan (kita harus) bergerak ke hadapan. Saya tak mahu bercakap mengenai isu lama,” katanya.

Saiful turut menafikan tindakan beliau menyertai PRK Port Dickson adalah untuk menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

“Sebagai bekas anak murid dia, bekas pekerja dia saya rasa tak salah saya bertanding dengan bekas guru,” katanya,

Saiful berkata, dalam PRK Port Dickson ini beliau turut memilih lambang kunci.

“Tema kempen saya untuk PRK ini adalah maju ke hadapan, kekalkan kestabilan,” katanya sambil menambah akan menerangkan tema itu dalam masa 2 hari lagi.

Anwar sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan meliwat Saiful apabila panel hakim Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

PRK Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Danyal, bekas pegawai tentera laut, memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu setelah mendapat 36,255 undi mengalahkan calon BN Datuk V S Morgan yang memperoleh 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.