Header

Ahli PAC tulis surat pada PM minta tukar Ronald Kiandee


Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) PH menulis surat bantahan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung keputusan mengekalkan Ronald Kiandee sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, anggota PAC Wong Chen berkata surat berkenaan dihantar kepada perdana menteri pada 19 Mac lalu, sehari selepas mesyuarat diadakan di parlimen.

"Lapan daripada kami berjumpa Isnin lalu dan kami menulis surat kepada perdana menteri bahawa kami tidak senang (dengan keputusan mengekalkan Kiandee)," katanya.

Dalam surat itu, Jelas Wong, mereka menyarankan agar PAC diketuai wakil rakyat pembangkang seperti yang dinyatakan dalam manifesto.

"Kami sedang menunggu jawapan Dr Mahathir," kata ahli parlimen Subang itu dan menambah bahawa Kiandee tidak hadir mesyuarat itu.

Pertukaran pengerusi PAC hanya dapat dilakukan melalui usul yang dibentangkan kerajaan sendiri kerana jika usul itu dibawa oleh ahli parlimen ia kemungkinan tidak akan dibawa ke Dewan Rakyat.

Tambah Wong, ini demikian kerana Dewan Rakyat akan mengutamakan usul dan rang undang-undang kerajaan.

Dalam manifestonya, PH berjanji untuk memastikan pengerusi PAC dari kalangan pembangkang.

Kiandee yang sebelum ini bersama BN bagaimanapun menyertai Bersatu yang merupakan parti komponen PH pada 15 Mac lalu. Susulan itu, pembangkang mencadangkan agar Kiandee digantikan oleh Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad, yang juga merupakan ketua Wanita Umno.

Namun, Dr Mahathir yang juga merupakan pengerusi PH meminta Kiandee untuk kekal memegang jawatan sebagai pengerusi PAC.

Kiandee kemudian berkata dia akan mematuhi arahan Dr Mahathir.

Beberapa pemimpin PH termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim, Hannah Yeoh, Nurul Izzah Anwar dan Siz Tze Tsin turut menggesa agar PH berpegang pada janji manifesto berhubung perkara itu.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.