Header

Najib guna khidmat 'pakar spin' ternama Republikan kata media PH


Bekas perdana menteri Najib Razak didakwa mendapatkan khidmat pakar komunikasi Republikan tahun lalu, kata satu badan pemerhati terhadap pengaruh wang dalam politik Amerika Syarikat (AS).
Merujuk rekod daftar Akta Pendaftaran Ejen Asing (foreign agents registration act, Fara), laporan Center for Responsive Politics menyifatkan Mark Corallo sebagai "ejen asing" (foreign agent on record) untuk Najib.

Undang-undang AS memerlukan ejen kepada pihak politik di luar negara itu membuat pendedahan umum secara berkala. Menurut dokumen Fara, Corallo telah menghantar dokumen itu pada 27 Mac 2018.

Dokumen itu menyatakan "Mr Najib Razak" sebagai pelanggan Corallo, sementara ruangan jenis perkhidmatan tertulis "belum ditetapkan".

Corallo juga tidak menyatakan pendapatan yang bakal diperolehinya.

Corallo paling dikenali sebagai juru cakap pasukan peguam Presiden AS Donald Trump ketika siasatan FBI berkenaan kaitan antara kempen pilihan rayanya pada 2016 dengan kerajaan Rusia.

Sebelum itu, dia menjadi penasihat perhubungan awam untuk pasukan tentera persendirian Blackwater Worldwide, yang membunuh 17 rakyat biasa Iraq pada 2007 dalam apa yang dikenali sebagai pembunuhan Dataran Nisour di negara itu.

Dia juga merupakan juru cakap John Ashcroft ketika menjadi peguam negara AS antara 2002 hingga 2005.

'Pakar spin Republikan'

Laman web Corallo sendiri berbangga dengan gelaran "pakar spin Republikan melalui pengalaman" (street-smart Republican spin doctor) yang diberikan oleh kumpulan pelobi ternama National Journal dan "pakar krisis" (master of disaster) oleh organisasi berita politik terkemuka Politico ekoran kemahiran pengurusan krisisnya.

Dokumen Fara menunjukkan Corallo pada masa ini bekerja di firma guaman Ashcroft di St Louis, Missouri.

Wall Street Journal sebelum ini mendakwa Najib berhubung dengan firma guaman Ashcroft sejak 2016 - ketika Jabatan kehakiman AS (DOJ) melancarkan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

Menurut kenyataan pendaftaran Fara Ashcroft Law Firm LLC pada 2018, ia juga memberi Najib "nasihat perundangan berkenaan salah laku pihak ketiga untuk cuba menjejaskan kestabilan kerajaan Malaysia."

Dalam kenyataan tambahan kepada unit Fara pada 12 Disember tahun lalu, Ashcroft Law Firm LLC berkata ia tidak menerima sebarang bayaran daripada Najib kerana "gangguan dalam kerja dan sebarang keperluan bayaran".

Tapi Jho Low bayar

Sementara itu, Center for Responsive Politics juga melaporkan bahawa dokumen Fara menunjukkan ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Jho Low yang dituduh sebagai dalang skandal 1MDB, telah mengambil khidmat firma guaman Kobre and Kim and Schillings.

Menurut dokumen Fara itu, antara skop kerja Schillings International adalah menyedia atau menyebar maklumat berkenaan www.jho-low.com.

Tiada belanja dinyatakan untuk khidmat yang diberikan dan Low disifatkan sebagai mempunyai alamat di Tanjong Bungah, Pulau Pinang.

Center for Responsive Politics melaporkan bahawa dokumen awam menunjukkan Low membayar sebanyak tujuh angka kepada kedua-dua firma guaman itu dan nilainya mungkin lebih tinggi kerana sebahagian bayaran tidak dilapor kepada pendaftar Fara.

Laporan itu juga mendedahkan Reevemark LLC sebagai syarikat terbaru yang diambil Low untuk khidmat rundingan perhubungan awam.

"Reevemark dijangka menerima AS$175,000 atas kerja mempromosi Low daripada 15 Feb sehingga akhir Mac, diikuti dengan bayaran bulanan AS$125,000, mengikut kontrak awal.

"Reevemark adalah syarikat komunikasi strategik berpangkalan di New York yang ditubuhkan tahun lalu oleh bekas rakan usaha sama Sard Verbinnen, dan Low adalah prinsipal asing pertama yang dilaporkan dalam pernyataan Fara," kata Center for Responsive Politics.

DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.