Header

‘Bossku’ penyakit latah politik Melayu


Terdapat sejenis penyakit orang Melayu yang cenderung dikaitkan para psikiatri sebagai penyakit jiwa di bawah “Cultural-bound Syndrome” atau CBS. Penyakit jiwa ini tidak terhad kepada bangsa Melayu.

Ada penyakit jiwa seperti shenkui (selalunya dihidap orang Cina) mengakibatkan rasa gelabah, panik dan gejala kehilangan air mani. Orang Eskimo pula sekali-sekala mengalami “pibloktoq”, sejenis histeria dan kemurungan yang berpunca daripada kesejukan melampau dan berpanjangan di Artik.

Orang Melayu secara amnya mengalami 2 jenis penyakit bersandarkan CBS, iaitu amuk dan latah.

Amuk menyebabkan orang Melayu bertindak tanpa berfikir panjang, memutuskan diri dari masa lampau dan masa depan serta membuat sesuatu tanpa berfikir. Selalunya, apabila orang Melayu mengamuk, ramai orang tidak bersalah akan terluka dan cedera. Ia adalah tindakan ganas.

Sejumlah peratus orang Melayu melakukan “amuk politik” pada 9 Mei 2018 dan mengundi Pakatan Harapan. Meskipun jumlah itu kecil dan tidak menyeluruh, apabila ditokok kenekadan bangsa Cina dan India yang berasa tertipu dengan Barisan Nasional, serta disempurnakan bangsa lain di Sabah dan Sarawak, kita mendapati bangsa Malaysia secara tidak sengaja melakukan perubahan bersejarah.

Saya pernah menulis kemungkinan Dr Mahathir Mohamad, seorang doktor perubatan memanfaatkan amuk itu untuk mendorong segelintir orang Melayu melakukan perubahan di kolum ini yang berjudul “Tsunami Melayu dalam dilema”.

Sekarang, kita kembali kepada penyakit jiwa Melayu yang lain. Saya sudah sebut, latah dikaitkan pada psikiatri sebagai penyakit jiwa di bawah CBS.

Pakar sakit jiwa yang banyak mengkaji penyakit berkait budaya, Arabinda Narayan Chowdhury, dalam banyak artikelnya menyatakan latah ialah satu tindakan takut ekoran hiper-sensitif yang diiringi ekoprasia dan ekolalia, sehingga terikut-ikut tanpa sebab-musabab, seraya terputus daripada realiti dan kelihatan seperti tinggal dalam keadaan khayal yang membingungkan.

Apakah ekoprasia? Terma itu, dalam bahasa Inggerisnya, echopraxia bermaksud pengulangan tidak disengajakan atau peniruan aksi orang lain. Ia dianggap gejala eko yang tidak dapat dikawal dan tanpa rasa sedar. Kamus atas talian “Medicine Net” menyatakan ekoprasia adalah satu ciri skizofrenia, sindrom Tourette dan penyakit neurologi lain.

Latah juga, menurut Chowdhury disertai ekolalia (dalam bahasa Inggeris echolalia) yang merupakan pengulangan bunyi dan peniruan bahasa. Ia disifatkan satu gejala tidak matang dan hanya dikesan pada anak kecil yang baru belajar bercakap (justeru mereka mengulangi apa yang didengar).

Menjelang pilihan raya kecil Parlimen di Cameron Highlands (26 Januari lalu), PRK DUN Semenyih (2 Mac lalu) dan PRK DUN Rantau (13 April ini), pasukan Najib Razak telah mengeksploitasi penyakit orang Melayu ini.

Maka, tidaklah menghairankan kita melihat orang Melayu melakukan latah politik. Melayu terikut-ikut tanpa sebab-musabab meneriak “Bossku”. Oleh sebab ia gejala tidak matang dan hanya untuk anak-anak, kita melihat watak-watak yang melatah ini juga kebingungan dan tidak sedar sama sekali.

Mungkin, mereka perasan ia menghiburkan, sepertimana kita sering melihat orang yang terdera melatah itu dengan penuh kasihan bercampur geli hati, mereka yang menyaksikan akan terikut-ikut gembira.

Untuk seketika, ia adalah pesta kecil. Semua orang bersuara “Bossku” atau “biashe-biashe”. Akan tetapi, pesta kecil itu tidak membawa apa-apa makna kerana kita akan kembali melakukan urusan masing-masing.

Yang menyaksikan akan kembali kepada realiti dan kesibukan (kadangkala ia realiti yang pahit seperti desakan ekonomi), manakala yang melatah katakan “bossku o bossku” akan kembali ke momen sebenar, iaitu mereka hanya badut buat seketika, terlanjur sudah digelakkan ramai dan kini perlu kembali ke tangga kebenaran.

Mungkin, dalam kes ini, kita katakan mereka tersedar yang mereka harus kembali ke tangga mahkamah kerana deretan kes yang belum masuk perbicaraan.

Apapun, latah politik ini boleh dimanipulasi secara tidak bertanggungjawab. Ditambah pula latah politik ini boleh direbut menjadi satu lagi sakit jiwa yang lebih sejagat, iaitu “histeria kelompok”.

Menurut ahli psikologi tersohor, Irving L Janis yang menulis dan menerbitkan buku “Victims of Groupthink: A Psychological Study of Foreign Policy Decisions and Fiascoes” pada 1972, histeria kelompok ini boleh mencetuskan krisis dan konflik politik luar jangkaan.

Antara lain, histeria kelompok ini menurutnya menyebabkan banyak keputusan salah dalam politik Amerika Syarikat seperti pendudukan Bay of Pigs (1961), kegagalan berfikir untuk mencegah serangan di Pearl Harbor (1941), menyokong perang Vietnam (1955 – 1975) dan usaha melindungi kesalahan Watergate (1972).

Latah politik ini, dalam konteks yang disebut Irving, adalah bentuk histeria fikiran yang tanpa sedar membawa kepada satu atau siri natijah buruk.

Dalam zaman ini, kita melihat latah politik yang kemudian berekor histeria kelompok telah menyebabkan pengundi di AS melakukan satu kebebalan nyata, iaitu meletakkan Donald Trump di Rumah Putih dan pengundi di United Kingdom pula menjadi sasau sekejap secara blok, iaitu memilih untuk keluar dari Kesatuan Eropah atau Brexit.

Tidak jauh dari Malaysia, Filipina yang juga secara budayanya dapat didefinisikan sebagai Melayu mengalami latah politik yang juga melongo (jauh daripada menghiburkan).

Isteri bekas presiden Filipina yang korup, Imelda Marcos pada November 2018 dijatuhkan hukuman penjara 42 tahun atas penyalahgunaan kuasa melibatkan skandal kewangan bernilai AS$658 juta. Ia adalah wang rakyat dan negara yang disembunyikan keluarga Marcos di Switzerland menerusi beberapa yayasan.

Mahkamah Sandiganbayan mendapati Imelda bersalah atas 7 pertuduhan rasuah dan dipenjarakan 6 hingga 11 tahun bagi setiap kesalahan itu.

Ia juga menyebabkan wanita berusia 89 tahun itu yang bertanding sebagai gabenor Ilocos Norte, hilang kelayakan.

Mengapakah keluarga Marcos yang sungguh korup itu masih berpeluang berkuku dalam politik Filipina? Anak-anaknya, Bongbong Marcos dan Imee Marcos kekal dilantik dalam Dewan Senat. Bahkan, Presiden Rodrigo Duterte sendiri adalah sekutunya.

Sudah ada cadangan gandingan anak Duterte, Sara Duterte dan Bongbong sebagai presiden dan timbalan presiden untuk pilihan raya 2022. Mengapa nama Marcos yang berbau hancing itu boleh dan masih cuba diharum marakkan?

Ya, secara ringkas kerana latah politik dan histeria kelompok.

Ia mengakibatkan Imelda masih tidak dapat dipenjarakan, meskipun sudah dilengser oleh rakyat pada 1986. Dalam tempoh lebih 3 dekad, latah politik kecil-kecilan ala “Bossku” (di Filipina dinamakan “Dahil Sa Iyo”) membolehkan keluarga Marcos kembali bertapak.

Alasan tidak memenjarakan Imelda kerana faktor umur dan kesihatan (harus diingat dalam usia 89 tahun, Imelda masih sihat dan aktif). Polis Filipina juga sentiasa mencari alasan tidak menghukum keluarga ini.

Mahkamah Filipina juga sangat perlahan, dari 1986, perbicaraan hanya bermula pada 1991 dan 27 tahun kemudian, barulah Imelda dijatuhkan hukuman penjara.

Mengapa ini berlaku?

Persis “Bosku”, Imelda menggunakan latah untuk membolehkan pengikutnya yang terdiri daripada penduduk pedalaman dan tidak berpendidikan kekal tinggal dalam latah membahagiakan.

Sebuah drama pentas berjudul “Dogeaters” seperti dinukilkan Christine Bacareza Balance dalam majalah ilmiah bertajuk “Dahil Sa Iyo: The performative power of Imelda’s song” berjaya merakam strategi Imelda ini dengan berkesan.

Perhatikan adegan di bawah:

Imelda: Biar aku beritahu kamu sesuatu okay? Rakyat belum hilang kepercayaan terhadapku? Mereka tahu aku sayangkan mereka. Bahawa aku adalah “H” dan “B” mereka.

Stone: “H” dan “B”?

Imelda: “Hamba” dan “Bintang”. Aku berkhidmat untuk rakyat dan aku bersinar dengan kasih dan kejelitaan untuk mereka. Aku datang dari kemiskinan Bob. Aku tidak nafikan. Rakyat melihatku. Itu kerana aku tampak bagus dan hebat – mereka merasakan begitu – ada yang menuduh aku mencuri makanan dari mulut anak-anak. Itu “absurd” sekali. Tidak mungkin Jose! Aku malah mungkin jadi seorang bintang Bob, menyanyi dan menghiburkan.

Imelda bangun dan menyanyikan “Dahil Sa Iyo”, kemudian tertawa.

Seperti yang telah diperikan di atas, Imelda dan keluarga Marcos disabitkan kesalahan, meskipun belum dapat dihukum kerana tiada komitmen politik.

Akan tetapi, perlu diingat, latah politik dan histeria kelompok di Filipina sangat terkawal. Ini kerana agamawan (dalam hal ini ialah gereja dan paderi) memilih untuk memihak kebenaran dan rakyat menola kemungkaran dan kebatilan politik seperti korupsi.

Paderi di Filipina umumnya (selepas mencapai kemerdekaan) tidak pandai berbohong dan menipu wang derma pengikut, lantas memindahkan wang ke beberapa akaun. Apatah lagi tidak kedengaran paderi membeli Mini Cooper, Porsche atau “Hellfire”.
FAISAL TEHRANI

DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.