Header

Dana khas bantu penyelidikan UMT


Kerajaan Terengganu setuju mewujudkan dana ‘khas’ bagi membiayai penyelidikan dijalankan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) khusus bagi menangani pelbagai isu melibatkan sains marin di Terengganu.


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata UMT sebagai satu-satunya universiti yang mempunyai kepakaran tujahan dalam bidang sains marin dan maritim perlu terlibat secara langsung bagi manfaat rakyat Terengganu serta negara.


“UMT satu-satunya universiti yang mempunyai kapal penyelidikan RV Discovery yang telah memberi sumbangan besar kepada bidang maritim di Terengganu dan negara dan kita mahu ia diteruskan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Kita hargai inisiatif yang dijalankan oleh UMT ini dan bagi memastikan ia terus berkembang hingga dikenali di peringkat antarabangsa…kita bersetuju bekerjasama dengan UMT bagi mencari dana khas untuk membiayai penyelidikan khusus melibatkan isu-isu di negeri ini seperti hakisan pantai dengan pakar-pakar dalam bidang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika melawat booth UMT selepas perasmian Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini Selasa.

Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar.

Dalam pada itu Nor Aieni berkata, dana khas itu adalah bagi membangunkan pelbagai penyelidikan yang akan menjadi ‘flagship’ kepada negeri Terengganu bukan sahaja dalam bidang sains, tetapi juga sebagai tarikan pelancongan.

“Sebagai contoh mungkin akan diwujudkan muzium akuarium yang akan memberi peluang pekerjaan kepada graduan UMT dalam bidang pengurusan perikanan sekali gus menarik kedatangan pelancongan ke negeri ini.

“Kita juga berharap kerjasama itu juga dapat menyediakan prasarana yang diperlukan seperti tapak dan sumbangan lain yang diperlukan agar UMT menjadi tempat rujukan dan penyelesaian kepada isu-isu melibatkan rakyat dan negeri Terengganu,” katanya.

Pameran dwitahunan bertaraf dunia yang berlangsung dari 26 hingga 30 Mac itu menerima penyertaan delegasi perniagaan dari 32 negara dan 406 syarikat pertahanan serta komersial.
— BERNAMA


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.