Header

'Ini semua sampah' - Kor Ming berang lagakan DAP dengan MB Perak


KUALA LUMPUR: “Ini semua sampah,” itu  reaksi Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming susulan mesej tular yang menyatakan bahawa parti itu bakal mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menerusi pesanan ringkas kepada Astro AWANI, beliau menegaskan bahawa kesemua 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan berpegang teguh di bawah kepimpinan Ahmad Faizal.

“Ini (mesej tular) semua sampah. Kesemua 31 ADUN tidak berbelah bahagi menyokong pentadbiran Ahmad Faizal,” katanya.

Pada Rabu, tular di sosial media mendakwa Ahmad Faizal dan dua ADUN mesra Pakatan Harapan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi ditawar menyertai UMNO.

Mesej tersebut turut mendakwa Ahmad Faizal meminta sokongan daripada UMNO kononnya DAP akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap beliau.

“UMNO tawar Ahmad Faizal, Nolee Ashilin dan Zainol Fadzi untuk lompat parti bagi pastikan mereka (UMNO dan Pas) mentadbir Kerajaan (Perak).

“Jika ini berlaku, peralihan kuasa akan berlaku secara automatik. Sebab itu DAP mahukan undi tidak percaya,” memetik mesej tular tersebut.

Jika ketiga-tiga mereka bertindak melompat parti, ia sekali gus akan memudahkan peralihan pentadbiran kerajaan negeri Perak tanpa perlu diadakan Pilihan Raya Negeri.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.