Header

Mesyuarat pertama Umno-PAS Perak bukan rancang ‘rampas kuasa’


IPOH, 14 Mac ― Mesyuarat rasmi yang pertama antara Umno dan PAS Perak malam tadi hanya membincangkan isu kerjasama antara mereka, bukan merancang untuk “rampas kuasa”.

Ketua Pemuda PAS berkata pertemuan tersebut juga membincangkan pergolakan dalam kerajaan Pakatan Harapan di Perak supaya mereka “bersedia dengan sebarang kemungkinan”.

”Kalau nak tarik mereka bersama dengan kita, itu tak akan berlakulah. Kita bukan nak rampas kuasa pun,” kata Mohd Akmal Kamaruddin seperti dilapor Sinar Harian.

“Tapi kalau mereka sukarela nak bersama kita, kita alu-alukan sebab dalam kalangan mereka dah tahu kepincangan yang berlaku.”

Menganggap ia sebagai permulaan, beliau berkata pertemuan dua jam itu tertumpu kepada usaha mengukuh hubungan dan kerjasama termasuk berkaitan pilihan raya umum ke-15.

Pertemuan itu dipengerusi bersama pesuruhjaya PAS negeri Razman Zakaria dan pengerusi Umno Perak Datuk Shaarani Mohamad.

Turut hadir timbalan pesuruhjaya Muhammad Ismi Mat Taib, ketua Dewan Ulama Ibrahim Zakaria, timbalan pengerusi Datuk Hasbullah Osman dan bekas menteri besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Semalam, menteri besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta wakil rakyat PH dan pembangkang menghentikan spekulasi tertubuhnya kerajaan campuran BN-PAS di negeri itu.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.