Header

Nazri mohon maaf pernah bantah kerjasama PAS-Umno


Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz memohon maaf kerana pernah membantah cadangan kerjasama dengan PAS.

Permohonan maaf itu ditujukan kepada penyokong PAS dan masyarakat Melayu di negara ini.

"Saya sedar dan saya sokong sepenuhnya hubungan Umno dan PAS.

"Saya minta maaf kepada Melayu di Malaysia, sama ada ahli atau penyokong PAS, kerana selama ini saya tegas mengatakan kita tak patut bekerja dengan PAS demi BN yang mempunyai keanggotaan berbilang kaum.

“Saya dah ubah fikiran," kata Nazri, ketika sidang medianya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Nazri dipercayai merujuk kenyataannya pada Dis 2016 yang mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju pembentukan kerajaan Melayu yang eksklusif dianggotai Umno dan PAS.

Ketika itu, Nazri menegaskan bahawa kerajaan Malaysia bukan sahaja kaum Melayu tetapi juga bangsa lain termasuk Cina, India, Iban atau Kadazan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab seruan Presiden Perkasa Ibrahim Ali, yang meminta PAS kekal menjadi parti bebas dan tubuhkan kerajaan Melayu yang eksklusif bersama Umno.

Utamakan kepentingan politik Umno

Dalam perkembangan terbaru semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mengumumkan 'persandingan' PAS dan Umno.

Mengulas perkara itu, Nazri yang juga anggota parlimen Padang Rengas berharap PAS dan Umno tidak ‘bercerai’ dan kekal sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15.

"Sebab itu saya terpanggil untuk survival Umno dan PAS, kita patut teruskan (hubungan ini). Kita pastikan jangan kita bercerai. Saya seratus peratus di belakang Mohamad dalam usaha ini.

"Saya (pernah) buat kesilapan politik dan saya mahu lihat Umno dan PAS teruskan (hubungan ini), untuk kita kita laksanakan apa yang baik untuk negara, kita kena berkuasa (mengambil ali kerajaan pusat).

"Untuk itu kita kena bekerja dengan PAS. PAS juga melindungi hak minoriti. Saya yakin sejak 25 tahun PAS tadbir Kelantan, saya tidak lihat penghijrahan bukan Islam daripada negeri itu," katanya.

Hadir berkot hitam hari ini, Nazri mengakui akan turun padang mempromosikan dan menerangkan kerjasama PAS dan Umno kepada orang ramai.

Nazri dalam masa yang sama turut berharap kerjasama yang berlangsung bukan setakat Umno dan PAS, tetapi juga BN dan PAS, terutamanya ketika PRU.

"Macam mana pun keputusan Umno, kita sokong 100 peratus dan kita tak abaikan kaum lain, cuma utamakan kepentingan politik Umno," katanya lagi.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.