Rantau yang bermakna
DEFINISI perkataan rantau bagi seorang nelayan bermakna hanyut, pukat yang dihanyutkan mencari ikan yang merantau di tengah samudera lepas tanpa sempadan, tidak seperti memancing yang menunggu ikan yang mencari makan yang diumpankan. Bersinonim dengan daerah, kawasan, wilayah dan zon.
PAS dan gabungannya dalam Gagasan Sejahtera, bertaawun (bekerjasama) dengan Umno, seterusnya diikuti oleh komponen BN khususnya MCA dan MIC. Kumpulan yang terlibat dengan Kontrak Sosial ketika menuntut kemerdekaan di era terakhir perjuangan menentang penjajah yang sebenarnya bermula sejak kejatuhan Melaka 1511M yang dimulakan oleh umat Islam.
Penganut Islam Melayu ini menerima hakikat masyarakat majmuk yang sinonim dengan konsep persaudaraan kemanusiaan sejagat, walaupun Umno dan PAS berbeza pendekatan dalam merealisasikan Islam yang dianut bersama, sehingga berlakunya krisis yang tajam, tetapi Alhamdulillah tidak memadamkan semangat Islamnya.
Sekurang-kurangnya telah bersama dalam titik persamaan menerima konsep Kontrak Sosial yang dipahat dalam Perlembagaan, khususnya perkara asasi iaitu; Islam adalah agama Persekutuan, hak beragama dan beramal kepada penganut berbagai agama lain, Bahasa Melayu dinobatkan menjadi Bahasa Kebangsaan, Konsep Raja Berperlembagaan dan kedudukkannya menjadi penaung yang sepatutnya berkuasa dalam mentadbir urusan agama Islam dan lain-lain, bersama Lembaga Penasihat yang benar-benar berilmu dan berwibawa moralnya.
Keputusan PRU14 dengan kemunculan parti-parti yang lahir selepas kemerdekaan yang berada di luar kotak peristiwa Kontrak Sosial, didukung oleh segelintir generasi baru yang lahir selepasnya yang tidak mengambil iktibar daripada sejarah agama, bangsa dan tanah airnya atau buta sejarah atau terpengaruh dengan komunis dan sebagainya. Ini menjadikan pemikirannya berhantu untuk membuat perubahan yang dijenamakan dengan reformasi, dengan mengumpulkan segala jenis fahaman dan ideologi, termasuk kumpulan LGBT pembawa penyakit ganjil yang telah membarah dan menjadi mukadimah kepada kemusnahan negara-negara Barat.
Perubahan kerajaan kepada PH telah mengubah hantu-hantu menjadi nyata, apabila berlakunya tindakan terbuka dan kenyataan yang terpampang menunjukkan usaha merungkai Kontrak Sosial yang disimpulkan dalam Perlembagaan, tanpa menghormati umat Islam yang mendahului bermukim, berjuang kemerdekaan dan tidak mengenang budi mereka.
Walaupun PAS dilihat berbeza, sehinggalah berkhilaf dengan Umno, tetapi wajib bersatu mempertahankan perkara asas yang menjadi perjuangan bersama. Adalah sangat mengembirakan apabila kalangan bukan Islam juga ramai yang peka bahawa tindakan yang sedang berlaku laksana mahu menebuk kapal di tengah lautan perlu dicegah secara aman dan damai. Malulah kepada anjing sekampung yang boleh berhenti bercakaran apabila dilihatnya musuh datang masuk ke kampungnya.
PRK Rantau adalah sangat bermakna, kerana namanya Rantau supaya kita merantau mencari pengundi, dan kita pula bersama BN yang sudah kehilangan umpan untuk memancing undi.
Rantau adalah model masyarakat majmuk yang unik, di mana Melayu Islam mendominasi penduduk dan pengundinya, dan menarik juga MCA dan MIC datang bersama secara terbuka.
Paling menarik keputusan majoriti besar tanda sokongan semua kaum dan pengundi muda yang berubah kembali ke pangkal jalan.
Teruskan perjalanan bersama berkat kurniaan Allah.
"Islam Memimpin"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 Syaaban 1440 / 15 April 2019
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Iklan Berbayar :
☀ Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮
Post a Comment