Malang buat Tun M ada menteri suka ‘tebuk kapal’ kata Hadi Awang
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui beliau menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang sangat berpengalaman memimpin negara sebelum ini, sehingga terkenal di persada antarabangsa.
“Saya sangat menghormati YAB Perdana Menteri yang sangat berpengalaman memimpin negara beberapa penggal sehingga menaikkan nama negara kita di persada antarabangsa. Saya tetap mengakuinya walaupun sepanjang masa menjadi pembangkang,” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu berkata, amat malang apabila sekarang ini Dr Mahathir mempunyai jemaah menteri yang tidak dapat menolongnya.
Mengibaratkan jemaah menteri itu seperti makmum, beliau berkata, lebih malang lagi jika ada di kalangan mereka yang seperti mahu menolak imam sebelum habis solat, sedangkan sembahyang tidak boleh dibatalkan begitu sahaja.
“Lebih parah lagi kalau (ada menteri) seperti menebuk kapal dalam perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam, sambil memetik hadis Rasulullah ﷺ diriwayatkan Abu Daud, yang bermaksud:
“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang pemimpin itu, nescaya diadakan bersamanya menteri yang benar (baik), kalau pemimpin itu lupa diperingatkannya, kalau pemimpin itu sudah ingat (tidak lupa) nescaya ditolongnya. (Sebaliknya) kalau Allah menghendaki bagi seseorang pemimpin itu keburukan, nescaya diadakan bersamanya menteri yang tidak baik, kalau pemimpin itu lupa nescaya tidak diperingatkannya, dan kalau pemimpin itu sudah baik nescaya tidak ditolongnya”.
Abdul Hadi memberi contoh dalam urusan hal ehwal agama Islam, sekiranya tidak diurus dengan baik, maka tidak mendapat petunjuk ke jalan yang benar mengikut petunjuk agama yang betul, seperti semua perkara agama digunakan akal semata-mata tanpa hidayah dan ilmunya berkenaan al-din atau tidak mempedulikan ciri-ciri rohaninya.
“Contohnya, sekolah-sekolah agama Islam dan Tabung Haji diserahkan atau dicampur urusannya oleh anasir bukan Islam yang tidak sepatutnya dari segi roh dan moral atau kalangan yang jahil berkenaan Islam, maka tujuannya tidak tercapai walaupun niatnya baik dan ikhlas, kesudahannya menjadi lebai malang,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, penjawat awam tidak boleh dipersalahkan, walaupun berlaku perkara tidak menyenangkan rakyat sebagai jentera kerajaan.
Katanya, konsep demokrasi di Malaysia adalah pemisahan kuasa di antara legislatif dan eksekutif, laksana pemisahan di antara badan kereta, enjin dan pemandunya.
“Seringkali betapa baiknya kereta dan enjin, tetapi kalau pemandunya tidak cekap memandu dan mengurus sama ada tidak berlesen atau mendapat lesen terbang, maka perjalanannya juga tidak akan selesa dan selamat.
“Begitu juga kalau pemandunya tidak kenal arah hala tuju atau tidak tahu membaca peta perjalanan (road map) yang bercelaru adalah lebih malang, mungkin tidak sampai ke destinasi yang dituju atau terlalu lambat sehingga menghilangkan waktu dan membazirkan minyak.
“Pendirian politik pilihan raya tidak seharusnya dipandang remeh seperti tertarik kepada syarahan penjual ubat yang petah bersyarah tanpa ilmu perubatan dan penyakitnya, sehingga memilih apa sahaja dan siapa sahaja yang sedap didengar dan dipandang. Akhirnya terpilihlah mereka yang sesat ideologinya atau tersasul memilih yang bercampur aduk pemikirannya atau tunggul kayu yang tidak berfungsi,” katanya.
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
Iklan Berbayar :
☀ Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮
Post a Comment