Header

ECRL bukan mimpi tapi realiti


KUALA LUMPUR:
Kerajaan sekali lagi menyatakan komitmennya untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) demi meningkatkan kebolehhubungan pengangkutan berasaskan rel di Pantai Timur.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong malah menganggap ECRL mampu menjadi ‘game changer’ untuk penduduk Pantai Timur.

“Bayangkan kalau ECRL dengan kelajuan lebih 160 kilometer (sejam), ia boleh sampai ke Kuala Lumpur dalam tempoh empat ke lima jam. Ini akan selesaikan masalah kita.

“Sebab itu kita kena buka koridor ekonomi di Pantai Timur dengan menghubungkan tren penumpang dan kargo ke sana. Ini jaminan kerajaan, kita akan teruskan secara musyawarah dengan setiap negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) ketika pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini.

Ka Siong sebelum itu mengakui terdapat jurang yang besar antara kualiti pengangkutan rel di Pantai Timur dengan Pantai Barat.

Beliau menegaskan, hasrat untuk meningkatkan kualiti pengangkutan berasaskan rel di Pantai Timur adalah realiti dan akan direalisasikan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya suka pada realiti. Apa yang kita buat untuk meningkatkan jaringan sistem kereta api kita, sebab itu kerajaan akan teruskan ECRL,” katanya.

Terdahulu, beliau sebelum ini telah menyatakan komitmen kerajaan di bawah pemerintahan PN untuk meneruskan projek ECRL dengan kemungkinan untuk mengubah kembali jajarannya mengikut jajaran asal yang diubah oleh kerajaan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN ONLINE


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.