Header

Menjelang PRN, Shafie jelajah Sabah untuk rasuah geran tanah adat


Menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Ketua Menteri sementara Sabah, Mohd Shafie Apdal menjelajah negeri itu sejak beberapa hari lalu untuk menyerahkan pemilihan hak tanah kepada penduduk.

Pemberian geran tanah adat negeri (NT) kepada masyarakat bumiputera Sabah menjadi isu hangat sebelum ini yang dihadapi Warisan, sebuah parti politik yang dipimpin oleh Shafie.

Selama bertahun-tahun, penduduk kampung berhadapan dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan konglomerat perladangan untuk memiliki hak atas tanah warisan mereka.

Berdasarkan laporan berita, Shafie telah menyerahkan 1,309 geran NT dalam tempoh lima hari.

Semalam, Shafie berada di Kinabatangan bagi menyampaikan 240 geran. 

Dia juga mengumumkan sembilan kampung tidak lagi diklasifikasikan sebagai menceroboh tanah "hutan simpan", kerana ia telah diwartakan.

Dalam ucapannya, Shafie mendakwa kerajaan negeri sebelum ini melabel tanah adat sebagai hutan simpan hanya untuk tujuan pembalakan dan melucutkan hak penduduk.

"Di kampung [...] Kota Marudu, 40 tahun rakyat yang ada di situ sudah pun menjadi setinggan.

"Kerajaan dulu mengazet tanah-tanah ini lepas itu dari first class reserve digazet menjadi third class, supaya boleh potong kayu dia (balak)

"Lepas itu potong balik lagi first class reserve supaya penuhi syarat sabah terkandung dalam kawasan yang dilindungi hutan. Tapi orang kampung ke mana tempat tinggal mereka?" katanya.

Shafie turut mempersoal mengapa ahli parlimen Kinabatangan dari Umno, Bung Moktar Radin tidak berani untuk bersuara mengenai isu sebegini memandangkan ia berlaku di kawasannya sewaktu pentadbiran Musa Aman.

"Bising dia masa Musa Aman? Beranikah dia cakap dgn musa aman? Tidak berani!"

"Kita sudah sediakan geran tanah semenjak saya ambil alih lebih daripada 10,000 geran native title sudah di JTU (Jabatan Tanah dan Ukur), cuma tak kesampaian. Kita nak beri kepada semua rakyat di negeri Sabah," katanya.

Pada hujung minggu lalu, Shafie menyampaikan geran tanah adat kepada penduduk kampung di daerah tenggara Tawau (318 NT) dan Lahad Datu (352 NT).

Hari ini, dia menyampaikan 399 geran NT di hujung utara Kudat.

Majlis penyampaian geran tanah dan jelajahnya dijangka berterusan di Kuala Penyu di pantai barat, Beluran di Sabah dan di kawasannya Semporna, yang terletak di bahagian tenggara negeri itu.

Bersih: Shafie salahguna sumber negeri

Pemantau pilihan raya, Bersih, mendakwa Shafie dan Warisan menggunakan jentera negeri itu untuk berkempen menjelang pilihan raya yang akan diadakan pada September.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata sumber negeri tidak boleh digunakan untuk tujuan berkempen, terutamanya setelah dewan undangan negeri (Dun) dibubarkan pada 30 Julai.

"Tiada undang-undang bagaimana kerajaan sementara harus bertindak tetapi penggunaan sumber negeri setelah DUN dibubarkan dapat ditafsirkan sebagai berkempen dan menyalahgunaan kedudukannya sebagai ketua menteri sementara [...]

"Penyalahgunaan sumber negeri untuk keuntungan politik melanggar semangat pilihan raya yang bebas dan adil,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Pengerusi Tetap Warisan dan ahli parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong menjelaskan bahawa mengeluarkan geran tanah adat tidak dilakukan dengan mengambil kira pilihan raya negeri kerana proses itu bermula sejak “berbulan" yang lalu.

"Perlu waktu berbulan-bulan untuk Jabatan Tanah dan Ukur mengeluarkan geran, mereka harus pergi ke lapangan untuk meninjau," katanya kepada Malaysiakini.

Tidak dapat dipastikan sama ada hak milik tanah yang diserahkan sekarang telah dikeluarkan sebelum atau selepas 30 Julai. 

Usaha untuk mengesahkan tarikh dengan jabatan tersebut tidak berjaya.

Geran tanah adat negeri diiktiraf sepenuhnya di bawah undang-undang. 

Pemegang hak geran tersebut mempunyai hak milik kekal, dan hanya boleh menjual tanah mereka kepada penduduk asal Sabah.

Liew yang merupakan bekas menteri undang-undang sewaktu pentadbiran kerajaan PH dan ahli politik veteran Sabah, berkata kerajaan negeri hanya memberikan penduduk asal apa yang mereka miliki di bawah Ordinan Tanah Sabah.

"Tetapi, ketua menteri sebelum ini, baik Musa Aman atau Joseph Pairin Kitingan - mereka tidak mempunyai kehendak politik, visi atau impian (untuk perkara ini).

"Jadi sekarang kita mempunyai pemimpin yang penyayang, Shafie Apdal yang mahukan orang asal Sabah memiliki tanah.

“Jadi, dia memerintahkan Jabatan Tanah dan Ukur untuk mempercepatkan proses untuk sesuatu yang telah ditunggu oleh penduduk yang menunggu selama 30 tahun," katanya.

Jabatan itu diletakkan di bawah Jabatan Ketua Menteri.

Shafie: Bukan untuk pancing undi

Sementara itu, Shafie memberitahu sidang media hari ini bahawa dia dan agensi-agensi negeri dibenarkan menjalankan tugas selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengeluarkan writ pilhan raya.

SPR dijangka berbuat demikian pada 17 Ogos.

Shafie mendakwa pengeluaran hak milik tanah tidak ada kaitan dengan pilihan raya dan dia telah mengemukakan dokumen-dokumen tersebut kepada individu yang berkelayakan sejak tahun lalu.

“Writ (pilihan raya) tidak ada, (jika) writ itu ada jadi lainlah ceritanya.

"Saya boleh bagi bantuan, bukan kita nak pancing undi," katanya kepada pemberita selepas penyerahan geran tanah adat negeri di Kudat.

Begitu juga dengan Peguam Besar Sabah Brenndon Keith Soh memberitahu Malaysiakini bahawa majlis baru-baru ini hanyalah "formaliti" semata-mata untuk memudahkan proses birokrasi.

Hak milik tanah ini, katanya, ditandatangani terlebih dahulu oleh pemilik tanah individu dan Penolong Pemungut Hasil Tanah dari pejabat tanah daerah.

"Surat geran tanah ini dikeluarkan dan didaftarkan sebelumnya lagi, dan penyerahan surat hak milik adalah formaliti yang menyaksikan proses penyerahan hak milik kepada pemohon tanah untuk tanah masing-masing," kata Soh.

Namun, pemerhati di Malaysia Timur dan pensyarah dari University of Tasmania, James Chin, berkata Warisan telah mengeluarkan geran tanah tersebut selama 26 bulan sejak berkuasa tetapi tidak sekerap sekarang.

"Ini (geran tanah adat negeri) adalah masalah sekian lama tetapi diselesaikan sekarang kerana pilihan raya negeri menjelang tidak lama lagi,” kata penganalisis politik itu.





DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.