Header

Pulau Pinang akan kemuka usul singkir Adun lompat parti


GEORGE TOWN:
Pulau Pinang akan mengemukakan usul pada Oktober untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri selepas wakil rakyatnya melompat ke parti lain.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berhak mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong tanpa usul, namun memilih pendekatan lebih “demokratik”.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang berkata undang-undang anti lompat parti wajar diuji di mahkamah bagi ditentukan apakah akta seperti itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menjawab gesaan pembangkang di Parlimen, Takiyuddin berkata wajar menunggu kes di Pulau Pinang selesai.

“Oleh kerana Takiyuddin menggesa Pulau Pinang mengambil tindakan tegas bagi menghentikan lompat parti, itu cabaran yang kita akan sahut dengan senang hati,” kata Chow dalam sidang media di Komtar hari ini.

Mengikut perlembagaan Pulau Pinang, jika Adun berhenti menjadi ahli parti politik atas tiket yang dimenanginya pada pilihan raya, dia akan segera mengosongkan kerusi itu dan pilihan raya akan diadakan untuk memilih wakil rakyat baru.

Berikutan penyusunan semula politik di peringkat persekutuan, Adun Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (PPBM) dan Zolkifly Md Lazim (PPBM), Dr Afif Bahardin (bekas PKR, kini PPBM) dan Zulkifli Ibrahim (bekas PKR, kini PPBM) berhijrah ke Perikatan Nasional (PN)

Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada DAP dan PKR, memiliki 33 daripada 40 kerusi DUN. Pembangkang mempunyai 4 ahli PPBM, 2 ahli Umno, dan seorang ahli PAS.

Chow berkata, walaupun ada undang-undang kes yang menganggap penyingkiran Adun Pulau Pinang sebagai tidak berperlembagaan, sudah tiba masanya mahkamah mengkajinya.

“Hakikatnya, Adun ini tidak mengosongkan kerusi mereka; mereka melakukan tindakan yang tidak mengikut perlembagaan,” katanya.

Katanya, tindakan mereka sama seperti mengkhianati kepercayaan rakyat.

“Anda bebas memilih parti yang anda suka, tetapi jangan ambil kerusi anda bersama. Itu pengkhianatan terhadap kepercayaan pengundi. Anda tidak ada kebebasan untuk memilih parti baru selepas anda dilantik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata projek asrama bagi pekerja asing di Juru, yang dianugerahkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, dibatalkan selepas mendapat bantahan orang ramai.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.