Header

Pakatan Rakyat sertai Himpunan 1 Mei bantah GST

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat bukan sahaja menyokong badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan Himpunan Membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 Mei ini bahkan akan turut serta dalam himpunan itu.

Menurut Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Pakatan Rakyat akan menggerakan seluruh ahli dan penyokongnya untuk menyatakan bantahan tindakan kerajaan yang terus membebankan rakyat dengan kenaikan kos hidup melalui GST.

Beliau turut menjangkakan ratusan ribu orang yang akan menyertai himpunan kemuncak ini setelah rakyat saban hari terus dibebani dengan kenaikan harga barang berterusan dengan GST yang akan diperkenalkan pada tahun depan.

"Himpunan ini akan berlangsung di sekitar Kuala Lumpur antara jam 2 hingga 5 petang dan kemudian bergerak ke  Dataran Merdeka," katanya dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS hari ini.

Mohammad turut memberi jaminan Himpunan Bantah GST yang diadakan pada cuti umum sempena Hari Pekerja itu akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang kekecohan.

Naib Presiden PKR Tian Chua pula berkata, Himpunan 1 Mei ini amat penting sebagai amaran rakyat kepada kerajaan agar menguruskan kewangan negara dengan baik.

Katanya, GST akan terus dilaksanakan pada tahun depan, keadaan ini akan menambah bebanan rakyat dengan pelbagai kesan termasuklah inflasi akhirnya hutang individu dan keluarga akan meningkat.

"Melalui GST ini kerajaan akan membiarkan golongan bawahan berterusan didera. Himpunan 1 Mei ini sangat penting. Pakatan Rakyat akan turun mengingatkan tanggungjawab kerajaan untuk memberi keadilan pada rakyat," katanya.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat Anuar Tahir berkata Himpunan anjuran NGO itu akan menjadi platform rakyat untuk memberi isyarat jelas bahawa mereka tidak dapat bersetuju dengan GST.

"1 Mei sangat sesuai untuk berhimpun di Kuala Lumpur. Insyallah himpunan paling aman," katanya yang mengajak seluruh rakyat bersama-sama dalam himpunan itu.

Di Parlimen sekarang ini sedang membahaskan Rang Undang-undang GST, dan minggu depan rang undang-undang itu akan diluluskan untuk dilaksanakan pada tahun 2015 sebagaimana yang diwar-warkan kerajaan sebelum ini.


No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.