Header

Kecaman Terhadap Perbuatan Melindungi Penjenayah


1.     Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan surat yang diutus beliau kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkenaan Paul Phua terus mengundang persoalan kepada masyarakat. Merujuk kepada kenyataan Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor bahawa Menteri sepatutnya tidak perlu bertindak sedemikan memandangkan permohonan hanya dibuat oleh firma guaman, Chesnoff & Schonfeld yang mewakili Paul Phua.Tan Sri Abdul Rahim berpandangan adalah lebih baik jika tidak babitkan menteri. Malah surat itu tidak perlu pun dijawab oleh mana-mana pegawai kerajaan atau pihak polis.

2.     Tun Hanif Omar yang juga Mantan Ketua Polis Negara memperjelaskan sememangnya wujud kerjasama penjenayah untuk mengatasi ancaman jenayah yang lebih berat dalam prinsip pasukan keselamatan di mana-mana negara. Prinsip set a thief to catch a thief (gunakan pencuri untuk tangkap pencuri) dalam kepolisian digunakan dengan mendapatkan kerjasama penjenayah untuk menghancurkan ancaman yang lebih berat.

3.      Apabila pendedahan ini dibuat menunjukkan pihak kerajaan sememangnya ada menjalinkan kerjasama dengan penjenayah, tetapi mengapa pula perlu bertindak sebagai pelindung kepada mereka apabila didakwa di mahkamah.? Jikalaulah sebegitu bermurah-hatinya kerajaan bertindak sebagai pembela kepada mereka, maka tidak hairanlah usaha pencegahan jenayah yang kian parah pada hari ini masih gagal. Tindakan sedemikian seolah-olah mengkategorikan penjenayah berlesen yang mendapat restu kerajaan dan penjenayah haram yang diperangi oleh kerajaan.

4.     PAS menuntut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri agar berterus-terang dan telus kepada masyarakat di dalam hal ini. Perbuatan bersekongkol dengan penjenayah tertentu telah membolehkan mereka berbuat sesuka-hati dan terus bermaharaja-lela di dalam melakukan jenayah. Penjenayah lain yang menjadi musuh mereka itu mungkin berjaya dihapuskan, tetapi bagaimana pula mahu menghapuskan penjenayah yang mendapat perlindungan kerajaan.? PAS mengecam sekerasnya tindakan kerajaan melindungi dan membela penjenayah ini kerana perbuatan sedemikan adalah suatu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat kepada pihak berkuasa.

Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS Pusat
....
Kangkung
http://tokeikangkung.blogspot.com/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.