Header

Ahmad Zahid sedia jadi punching bag


KUALA LUMPUR 28 Sept. - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat bakal menjadi punching bag akibat keberaniannya membiarkan Perhimpunan Agung UMNO 2018 lebih terbuka bagi membolehkan perwakilan melontarkan panda­ngan susulan kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Namun, baginya, keterbukaan itulah yang menjadi cara terbaik kepadanya untuk menyelami pemikiran akar umbi UMNO yang terkejut dan kecewa dengan nasib parti itu.

Sesuai dengan realiti semasa, beliau mahu perhimpunan kali tertumpu kepada usul ucapan Presiden sahaja dan tidak perlu lagi usul ekonomi, agama dan pendidikan yang dibuat sewaktu UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan.

“Saya faham bahawa set minda kita belum lagi banyak bertukar kerana terlalu lama di dalam kerajaan.

“Maka apa yang saya ingin timba daripada pendapat yang akan dikemukakan oleh semua perwakilan negeri, tentunya saya tidak harus melakukan sebarang sekatan,” katanya dalam wawancara bersama portal UMNO Online yang disiarkan hari ini.

Beliau mahu suasana perhimpunan itu membawa UMNO bergerak ke hadapan dan me­ninggalkan nostalgia tanpa mengetepikan sejarah UMNO selama 72 tahun.

Mengenai sentimen ramai tokoh yang meninggalkan UMNO, Ahmad Zahid beranggapan mereka tiada daya tahan menjadi pembangkang setelah lama mempunyai jawatan dan mendapat peruntukan ketika parti memerintah.

“Apa salahnya kita hadapi bersama permasalahan ini. Ada parti politik yang berada di dalam kerajaan sekarang, 20 tahun menghadapi kesengsaraan politik tetapi mereka sekarang kerajaan.

“Ada yang menghadapi permasalahan selama 40 tahun sebagai parti pembangkang, namun akhirnya mereka membentuk kerajaan negeri dan mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan hari ini,” katanya.

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.