Header

PRK Port Dickson: Saiful Bukhari ‘bersalaman’ dengan Anwar


PORT DICKSON: Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan hari ini “bersalaman” dengan bekas “bosnya” itu di pusat penamaan calon Majlis Perbandaran Port Dickson pagi ini.

Saiful dilihat bersalaman dengan Anwar selepas kedua-duanya menghantar borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Port Dickson yang akan berlangsung 13 Oktober depan.

Anwar sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan meliwat Saiful apabila panel hakim Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Sebelum itu suasana di pusat penamaan calon kecoh apabila berlakunya insiden tolak menolak membabitkan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Dalam kejadian pada jam 9 pagi itu, penyokong PH merempuh pagar polis di hadapan Majlis Perbandaran Port Dickson bagi mengiringi Anwar.

Bagaimanapun mereka tidak berjaya memasuki pekarangan pusat penamaan calon setelah dihalang anggota polis bertugas.

PRK Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Danyal, bekas pegawai tentera laut, memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu setelah mendapat 36,255 undi mengalahkan calon BN Datuk V S Morgan yang memperoleh 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.