Header

PRK Port Dickson: Semangat juang calon PAS tidak pernah padam


PORT DICKSON: Selepas sekian lama berjuang bersama pasukan keselamatan negara, kini Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar memilih untuk berjuang di medan politik demi rakyat.

Mohd Nazari, antara 7 calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, merupakan pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mahu ‘roh juangnya’ tidak padam meskipun telah meninggalkan perkhidmatan itu 10 tahun yang lalu.

Berasal dari Batu Pahat, Johor, Mohd Nazari, 57, yang dipilih mewakili PAS pada PRK itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Besar, Batu Pahat dan kemudian meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Kulai sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Laksamana, Kota Tinggi, Johor.

Sekitar tahun 1980, Mohd Nazari mula berkhidmat sebagai Pegawai Kadet, INTEK 38 Kem Sebatang Karah, Port Dickson sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dalam jurusan Pengurusan Kewangan di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan diploma International Training Methodology di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), masing-masing pada tahun 1989 dan 1994.

Beliau turut dianugerahkan 2 diploma dalam bidang ketenteraan dan keselamatan negara iaitu “Diploma Aerospace & Security Management” (1983) dan “Diploma Nation Building & Armed Conflict” (1996), masing-masing oleh Tentera Udara Diraja Australia dan Kanada.

Selain mempunyai sarjana muda dalam bidang pengurusan juga dari INTAN, Mohd Nazari berjaya memperoleh “Masters in Defence and Strategy Studies” dari Islamic University of Technology Gazipur, Dhaka pada tahun 2004.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai anggota TUDM pada 1980 sebelum meninggalkan dunia ketenteraan pada 2008.

Sepanjang perkhidmatannya hampir 28 tahun, beliau pernah menjawat perlbagai jawatan seperti Pengarah Perkhidmatan TUDM, Pegawai Pemerintah Markas Operasi Udara, TUDM Kuala Lumpur, Komandan Pusat Latihan Pentadbiran TUDM, Komander Regional Border Committee Office (RBCO) Songkhla, Thailand dan Setiausaha Pasukan Bola Sepak TUDM.

Mohd Nazari yang kini merupakan pengetua sebuah Maahad Tahfiz di Batu Pahat turut mengusahakan tanaman durian Musang King, selepas menamatkan perkhidmatan.

Di peringkat parti, Mohd Nazari adalah Pengerusi Penaja Lajnah Pertahanan dan Kedaulatan Negara PAS Pusat sejak 2016, selain pernah menjadi calon PAS dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan PRU14 masing-masing bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja dan DUN Panti di bawah Parlimen Tenggara, Johor.



NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.