Header

Shafee juga mahu soal balas Jho Low dan harap dia tampil


Peguam terkemuka Tan Sri Shafee Abdullah berharap ahli perniagaan yang kini menjadi buruan, Jho Low akan hadir dalam kes yang melibatkan anak guamnya, Datuk Seri Najib Razak.

Menjawab satu soalan, beliau berkata Jho Low sebagai saksi akan dapat memberikan makna dan konteks terhadap "jutaan dokumen" terhadap pertuduhan itu.

"Saya harap dia muncul kerana anda boleh mengetahui kebenaran.

"Terdapat banyak dokumen, berjuta-juta dokumen, tetapi anda tidak dapat membawakan seseorang untuk memberi keterangan mengenai dokumen-dokumen ini, untuk memberikan makna dan konteks.

"Sekiranya Jho Low berada di sini (di Malaysia), anda tidak boleh mengelakkan untuk mendapatkan dia sebagai saksi. Saya mahu menyoal balas (dia)," katanya kepada pemberita di luar kompleks mahkamah Kuala Lumpur petang ini.

Pada Ogos, Jho Low dan bapanya, Low Hock Peng menghadapi pertuduhan jenayah "tanpa kehadiran tertuduh" (in absentia) berkaitan wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa sukar bagi pihak berkuasa menangkap Jho Low walaupun menerima maklumat mengenai keberadaannya.

"Dia (Jho Low) seolah-olah mempunyai keupayaan untuk mengetahui terlebih dahulu tentang apa yang akan kita lakukan. Kami diberitahu dia berada di China di antara tempat-tempat lain.

"Kami juga diberitahu dia berada di Bangkok. Beliau seolah-olah mempunyai keupayaan untuk mengetahui terlebih dahulu tentang apa yang akan kita lakukan," katanya.

Sebelum ini, pengarang Billion Dollar Whale, Tom Wright mendakwa sumbernya telah memaklumkan kepadanya bahawa Jho Low cuba berunding dengan Putrajaya.

Beliau mendakwa ahli perniagaan itu menawarkan untuk mengatur pertemuan dengan Mahathir ketika perdana menteri menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, selain membantu mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun, pembantu Mahathir Endie Shazlie menafikan bahawa Jho Low telah menghubungi mereka.

Tom Wright telah mengarang Billion Dollar Whale bersama wartawan Wall Street Journal (WSJ) Bradley Hope. Buku itu menerangkan mengenai skandal 1MDB dan manipulasi yang dilakukan Jho Low.

NADIREFORMASI
http://nadireformasi.blogspot.com/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.