Header

Agenda Islam kerajaan PH dikritik, sangat mengelirukan


KUALA LUMPUR: Agenda Islam yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan nampaknya terus dipersoalkan segelintir masyarakat apabila ada berpandangan PH tidak benar-benar memartabatkan Islam, tetapi dianggap mengelirukan.

Dalam “Wacana Ilmiah: Islam dan Perlembagaan Persekutuan” malam tadi, rata-rata pelajar universiti melontarkan soalan berkaitan konsep Rahmatan lil ‘Alamin, pemeliharaan Islam dalam perlembagaan dan penafsiran Islam dibawah kerajaan PH.

Ada juga yang masih mempersoalkan lantikan individu bukan Islam untuk jawatan penting iaitu peguam negara, ketua hakim negara dan menteri undang-undang.

Malah, 2 panel jemputan iaitu bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama), Asyraf Wajdi Dusuki dan pensyarah undang-undang, Prof Madya Shamrahayu Abd Aziz turut mengkritik dasar Islam kerajaan PH.  

Asyraf berpendapat langkah kerajaan melantik ramai orang bukan Islam wajar dipersoalkan kerana tiada jaminan hal kepentingan Islam diberi keutamaan.

“Misalnya Rang Undang-undang 355, bagaimana kalau kita nak menggubal dan meminda undang-undang berkaitan Islam? Ini mungkin memerlukan ‘political will’ dan kesediaan peguam negara buat tindakan.

“Tidak salah sebenarnya orang Islam menyatakan kebimbangan tapi jangan pula tuduh rasis, ini tak betul. Rakyat cuma mahukan keyakinan dan kepercayaan serta jawapan tuntas daripada kerajaan,” katanya.

Ketua pemuda Umno itu berharap kerajaan dapat mewujudkan generasi baru yang berfikiran matang apabila melibatkan kepentingan Islam dan berasaskan ilmu serta fakta, bukan hujah sentimen semata-mata.

“Janganlah kebencian satu kaum menyebabkan kita tak berlaku adil terhadap satu kaum, harap politik matang terus disemai,” katanya.

Shamrahayu yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata, beliau sendiri keliru dengan konsep Rahmatan lil ‘Alamin yang dibawa kerajaan ketika ini.

“Kita sudah ada banyak jenis Islam sebelum ini. Dahulu Islam hadhari, lepas itu Islam wasatiyyah sekarang ini Rahmatan lil ‘Alamin. Jadi umat Islam nak ikut mana satu?

“Pentadbiran kelihatan haru-biru dan seperti tidak ada kesungguhan untuk mengangkat nilai Islam. Kalau asas agama tidak diperjuangkan, Islam akan jadi mandul, ia ada dalam perlembagaan tapi tidak digunakan, ia jadi kosmetik dan perhiasan semata-mata,” katanya.

Beliau itu turut menyelar pendekatan kerajaan yang seolah-olah tidak mengutamakan Islam.

“Walaupun pentadbiran kerajaan masih berlandaskan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, tetapi sekarang ini seolah-olah kerajaan memegang satu prinsip yang menjadikan negara seperti tidak ada agama. Perlu diingatkan sekularisme datang dalam gelombang hak asasi.

“Berdemokrasi macam mana pun, bebas macam mana sekali pun tapi jangan sampai lupa tuhan,” katanya.

DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.