Header

Langkah bijak MCA: Asyraf Wajdi


Keputusan MCA untuk terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) dan pemuafakatan UMNO-PAS, mampu mewujudkan satu gabungan yang kuat bertunjangkan Islam dan Melayu serta Bumiputera sebagai bangsa teras.

“Keputusan yang bijaksana. Syabas MCA,” kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dalam satu kenyataan malam ini ketika mengulas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di ibu negara.

Pada mesyuarat dipengerusikan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong itu, MCA memutuskan untuk kekal bersama BN bagi memastikan tidak berlakunya kecondongan politik berteraskan perkauman.

“Ia pastinya sukar, tetapi MCA bersedia untuk menghadapinya dengan penuh tabah,” kata Ka Siong pada sidang media malam tadi.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, sebagaimana yang telah disepakati dalam Dewan Tertinggi BN semua parti bersetuju bahawa MCA dan MIC perlu diperkasakan bersama untuk kita mewujudkan satu gabungan yang kuat.

Beliau berkata, kerjasama yang kini membabitkan PAS, UMNO, MCA dan MIC tetap berpaksikan kepada Islam sebagai tunjang gabungan itu dan Melayu serta Bumiputera sebagai bangsa teras.

“Pemuafakatan yang dicapai dalam Jawatankuasa Tertinggi Kerjasama UMNO-PAS, semua setuju termasuk PAS bahawa MCA dan MIC perlu diperkasakan bersama untuk kita mewujudkan satu gabungan yang kuat bagi membina kembali negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, namun berpaksikan Islam sebagai tunjang dan Melayu-Bumiputera selaku bangsa terasnya.

“Insya-Allah dengan gabungan baru PAS + BN (UMNO, MCA dan MIC) kita mampu memulihkan kembali Malaysia yang satu ketika dihormati sebagai model Negara Islam Progresif, dengan latar kepelbagaian agama dan bangsa, yang hidup dengan harmoni, aman dan stabil sebelum dirosakkan oleh elemen kebencian yang ditanam DAP yang mendominasi PH hari ini, katanya.

MCA dalam resolusi Mesyuarat Agung Tahunannya tahun lalu, antara lain mengusulkan supaya mandat diberi kepada Jawatankuasa Pusat BN untuk membubarkan gabungan itu dan memulakan usaha mewujudkan satu pakatan baharu.

MIC pula sebelum ini mengumumkan akan kekal bersama BN.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.