Header

Laporan CEP: Kerajaan tak serius untuk reformasi institusi


KUALA LUMPUR- Tindakan kerajaan untuk tidak mendedahkan laporan daripada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) menunjukkan ketidakseriusannya di dalam menunaikan janji untuk melakukan reformasi institusi.

Menurut CSO Platform for Reform dan 54 badan bukan kerajaan (NGO) yang lain, mereka memahami terdapat dokumen-dokumen rahsia yang tidak boleh didedahkan kerajaan kepada umum demi menjaga keselamatan negara namun laporan CEP tidak sepatutnya diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

“Dasar kerajaan perlu diubah seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) di dalam manifesto dan sering dilaung-laungkan semasa perhimpunan-perhimpunan yang diadakan sebelum pilihanraya.

“Kita perlu melakukan reformasi kepada institusi-institusi utama negara seperti Parlimen, sistem kehakiman dan polis dan kami mendesak supaya undang-undang represif yang sering disalahgunakan oleh kerajaan terdahulu diubah.

“Salah satunya adalah OSA.

“Kami memahami yang kerajaan perlu melindungi dokumen-dokumen rahsia tertentu demi keselamatan dan kesejahteraan negara namun meletakkannya di bawah OSA adalah sesuatu yang salah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, PH tidak seharusnya melakukan satu lagi u-turn apatah lagi di mana reformasi adalah asas paling penting untuk demokrasi.

OSA mesti disemak semula dan dihadkan manakala Akta Kebebasan Maklumat pula perlu diwujudkan seperti yang telah dijanjikan oleh manifesto PH.

Kerajaan dan ahli politik daripada kedua-dua belah pihak juga diminta untuk menjalankan semakan komprehensif terhadap Akta Rahsia Rasmi 1972 supaya ia sejajar dengan standard antarabangsa dan menghadkan undang-undangnya kepada perkara-perkara berkaitan keselamatan negara, pertahanan, hubungan antarabangsa dan kriteria-kriteria lain yang lebih sempit.

Mereka juga menggesa supaya Akta Kebebasan Maklumat digubal dengan segera.

Laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi yang disediakan di bawah CEP perlu didedahkan kepada umum sama seperti laporan CEP.

“Pendedahan laporan CEP yang mengandungi maklumat sensitif seperti kewangan dan maklumat rahsia kepada umum perlu disunting (redacted) jika perlu,” katanya lagi.- MalaysiaGazette


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.