Header

Lokman, Abdul Mutalif didakwa cedera, koyak plakad


KUALA LUMPUR 28 Mac - Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam dan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim dan dua lagi individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang penuntut Universiti Malaya (UM), minggu lalu.

Lokman, 46, Abdul Mutalif, 48, kerani pejabat UMNO Lembah Pantai, Salmon Arif Budiman Muchlis, 48, serta penghantar surat, Mohd. Norzakifah Mohammed Nawi, 44, bagaimanapun masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.

Mengikut semua pertuduhan, mereka bersama seorang yang masih bebas sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dalam melaksanakan tujuan bersama perhimpunan itu iaitu melakukan mudarat awam dan salah seorang daripada mereka telah menyebabkan kecederaan terhadap Wong Yan Ke, 23, dengan cara memegang rahang, menarik leher dan rambut dari arah belakang.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di perhentian bas di hadapan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Brickfields di sini pada pukul 3.30 petang, 22 Mac lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu juga didakwa menyebabkan kerugian kepada Yan Ke dengan cara mengoyakkan plakad milik mangsa pada masa dan tempat sama serta pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 426 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Abdul Mutalif yang merupakan adik kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim turut didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelatih portal berita, Siti Mariam Mohamad Nizar, 25, di bahagian jari tangan kanan mangsa pada pukul 3.45 petang, di tempat dan hari sama, mengikut Seksyen 323 kanun sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Beliau juga didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu sengaja menggunakan kekerasan jenayah ke atas Siti Mariam sehingga cedera di ibu jari mangsa pada masa, tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 352 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Media sebelum ini melaporkan, tercetus insiden tolak-menolak antara penuntut UM dengan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, Jumaat lalu.

Ketika kejadian, Najib dikatakan sedang menyampaikan ucapan kepada sekumpulan pelajar di sebuah restoran terletak berhadapan perhentian bas berkenaan. - UTUSAN ONLINE.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.