Header

Mahkamah arah perbicaraan penuh kes fitnah menteri anjur ‘pesta gay’


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad untuk membatalkan penyataan pembelaan difailkan Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin.

Hakim, Nik Hasmat Nik Mohamad membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri peguam, Muhammad Rafiqree Hamka yang mewakili Khalid selaku plaintif dan Wan Rohimi Wan Daud bertindak bagi pihak Wan Asshima yang dinamakan sebagai defendan.

Ketika ditemui media, Wan Rohimi berkata, mahkamah menolak permohonan Khalid dengan kos RM3,000 dan menetapkan 9 April untuk pengurusan kes.

Rafiqree Hamka berkata, Khalid akan mempertimbangkan sama ada memfailkan rayuan atau tidak.

Ditanya apakah alasan mahkamah menolak permohonan anak guamnya, beliau berkata, mahkamah berpendapat perbicaraan perlu dijalankan dalam kes saman itu.

Khalid, 62, memfailkan permohonan itu November lalu, atas alasan pembelaan yang digunakan defendan adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Pada 13 September lalu, Khalid menyaman Wan Asshima, 35, selepas mendakwa defendan pada 18 Ogos lalu dengan sengaja merakam, memuat naik dan/atau menerbitkan sebuah video mengandungi kata-kata fitnah dalam Facebooknya, https://www.facebook.com/wanasshima yang secara langsung merujuk Khalid kerana nama dan jawatannya disebut secara spesifik.

Mengikut penyataan tuntutan, Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam, mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif mengiktiraf dan mengiyakan kedudukan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) di Malaysia, menaik taraf serta melindungi hak golongan itu kerana berjaya menganjurkan dan meluluskan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur sempena bulan Merdeka.

Pengarah Komunikasi Amanah itu mendakwa rakaman itu juga menyatakan beliau atas kapasiti sebagai menteri, pemimpin Amanah dan individu mencabuli hak asasi manusia beragama Islam, undang-undang dan peraturan agama Islam yang termaktub dalam al-Quran serta sunah, menghina kedudukan agama Islam serta menggugat kedudukan wanita Islam apabila menghalalkan dan/atau meluluskan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur.

Khalid menegaskan tindakan defendan memuat naik dan/atau menerbitkan kata-kata fitnah itu disengajakan, tanpa sebarang usul periksa dan dengan niat jahat bagi mendorong orang ramai, khususnya umat Islam membenci beliau.

Oleh itu, plaintif menuntut perintah ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau daripada defendan.

Plaintif turut memohon defendan menerbitkan permohonan maaf melalui video untuk dimuat naik dalam Facebook defendan dan secara bertulis untuk diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dalam masa 48 jam daripada tarikh perintah ke atas writ saman itu dalam bentuk serta istilah yang dipersetujui plaintif, dan defendan hendaklah bertanggungjawab menanggung segala kos penerbitan permohonan maaf itu.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.