Header

MCA tak perlu takut dengan PAS


Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, MCA tidak perlu takut dengan PAS atau menjauhi parti Islam itu.

Khalil berkata, PAS bukan parti ektremis agama dan pelampau bangsa seperti yang diungkap, namun parti itu hanya berjuang selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang, iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, tidak lebih daripada itu.

Beliau berkata, selebihnya hanyalah retorik dan ciptaan musuh untuk menakutkan rakyat dan mungkin MCA kepada PAS.

“Track record PAS tidak pernah memusuhi mana-mana agama, kaum dan bangsa apatah lagi menindas. Sejak PAS memerintah Kelantan dan sekarang Terengganu, belum lagi PAS tindas atau anak tirikan mana-mana agama, kaum dan bangsa.

“Apa yang cuba musuh PAS gambarkan adalah tidak betul dan tepat kerana usahanya adalah untuk menjauhkan PAS dari rakyat dan umum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mungkin PAS dan MCA adalah dua parti yang berbeza pendirian dan pendapat, namun demi kepentingan umum, rakyat dan negara kemungkinan besar PAS dan MCA boleh duduk semeja dan bersetuju di atas banyak perkara.

Ini kerana, katanya, bagi PAS, kepentingan umum, rakyat dan negara adalah paling utama.

“Mungkin di masa lalu ada sedikit salah faham dan perkhabaran yang tidak betul di antara PAS dan MCA dilontarkan yang menyebabkan kerenggangan dan permusuhan.

“Namun tidak semestinya tidak boleh diperbaiki dan diperbetulkan demi kepentingan umum, rakyat dan negara,” katanya.

Justeru, PAS membuka seluas-luasnya ruang untuk MCA berbincang dan duduk semeja di atas kepentingan umum, rakyat dan negara.

“Keadaan politik yang tidak stabil serta penuh dengan fitnah dan retorik memerlukan gabungan pembangkang yang kuat. Apatah lagi Kerajaan PH yang tidak efektif serta memenuhi janji manisfestonya menyebabkan rakyat mula meluat dan berpaling arah kepada pembangkang.

“Ia memerlukan kesatuan pembangkang yang kuat, efektif dan berkesan untuk memenangi semula hati rakyat dan PRU15,” katanya.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.