Header

Pendakwa pinda 3 pertuduhan 1MDB Najib


Pihak pendakwaan hari ini membuat pindaan terhadap tiga pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, dua minggu sebelum perbicaraan kes itu dijadual bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pertuduhan kedua, ketiga dan keempat - kesemuanya mengikut Seksyen 32(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - dibaca semula kepada Najib di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah, hari ini.

Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, pihak pendakwa menambah ayat - "yang mengenainya kamu secara langsung mempunyai kepentingan" - di perenggan yang memperincikan dakwaan kesalahan Najib.

Untuk pertuduhan keempat pula, dimasukkan satu perenggan baru yang mengandungi perincian tambahan berkenaan dakwaan kesalahannya.

Ia pada mulanya menyatakan Najib mendapat rasuah RM49.9 juta untuk dirinya antara 23 Jun dan 19 Disember 2014.

Beliau didakwa berbuat demikian dengan meluluskan 1MDB untuk mendapat pinjaman AS$975 juta daripada bank sama melalui 1MDB Energy Holding Limited, untuk terbitan tawaran permulaan awam (IPO) syarikat itu, pada 21 Ogos 2014.

Pindaan hari ini menambah satu lagi dakwaan tindakan Najib mendapat rasuah:

"Pada 22 Mei 2014, di pejabat 1MDB, tingkat 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kamu selaku Menteri Kewangan telah meluluskan 1MDB Energy Holdings Limited yang merupakan anak syarikat milik penuh 1MDB untuk membuat pinjaman melalui Initial Bridge Financing Facility sehingga USD$300,000,000.000 daripada Deutsche Bank AG bagi tujuan terbitan 1MDB Energy Group IPO, yang mengenainya kamu secara langsung mempunyai kepentingan."

Peguam Najib, Havinderjit Singh membantah pindaan pada pertuduhan keempat.

Beliau berkata pertuduhan keempat menyatakan dakwaan kesalahan anak guamnya yang dibuat antara 23 Jun hingga 19 Disember 2014, manakala pindaan berkenaan dakwaan kesalahan yang dibuat sebelum itu.

Bagaimanapun ketua pendakwaan Gopal Sri Ram berkata semua pindaan hanya memasukkan perincian tambahan kepada pertuduhan.

"Ia tidak mengubah asasnya," katanya lagi.

Sequerah membenarkan pindaan tersebut selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Beliau berkata pihak pembela boleh membangkitkan perkara itu ketika perbicaraan, yang akan dibuat pada 15 April hingga 3 Mei.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.