Header

SPR mahu persempadanan semula dibatalkan


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mencari cara untuk melaksanakan persempadanan semula yang baharu walaupun ia baru sahaja diwartakan tahun lepas.

Bagaimanapun Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun mengakui pelaksanaannya rumit kerana terikat dengan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan yang antara lain hanya membenarkan ia dilakukan sekali sahaja dalam tempoh lapan tahun.

Justeru, menurut Azhar kajian perlu dilakukan sama ada wujud cara lain untuk Parlimen melakukan semula persempadanan semula atau tidak.

“Tak boleh sebab peruntukan jelas cuma sekali dalam masa lapan tahun.

“Kalau pinda (Perlembagaan Persekutuan) bolehlah, kalau tak pinda tak boleh tapi kita cuma nak kaji sama ada Parlimen boleh memutuskan untuk membatalkan (persempadanan semula) yang lepas itu. Itu persoalan yang kita nak kaji,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Parlimen untuk hadir Forum Reformasi Pilihan Raya.

Azhar berharap agar Persempadanan Semula akan dapat dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) empat tahun lagi manakala kajian pula ujarnya lagi perlu siap dalam tempoh dua tahun.

“Ya, kalau hendak dibuat semula mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kita kena buat dan selesaikan dalam masa dua tahun, tak boleh lebih dua tahun,” katanya lagi.

Untuk rekod, Dewan Rakyat meluluskan Kajian Semula Persempadanan Semula kawasan pilihan raya bagi Semenanjung Malaysia pada 28 Mac tahun lalu.

Usul itu diluluskan Dewan Rakyat menerusi undi belah bahagi selepas dibahaskan 14 Ahli Parlimen membabitkan tujuh dari pihak kerajaan dan tujuh dari pembangkang.

Pakatan Harapan sewaktu menjadi parti pembangkang menentang keras persempadanan semula yang sebelum ini disifatkan mereka sebagai memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun BN kalah di tangan PH pada pilihan raya yang lalu. -MalaysiaGazette


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.