Header

Streram lawan Tok Mat di Rantau


PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Dr Streram Sinnasamy sebagai calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil Rantau pada 13 April ini.

Streram dijangka berdepan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, yang menang tanpa bertanding kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Streram yang merupakan timbalan ketua PKR Rembau dan pakar bius, dilarang memasuki pusat pencalonan untuk menyerahkan borangnya pada hari penamaan calon pada 28 April tahun lalu kerana tiada pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya membatalkan kemenangan Mohamad di kerusi itu, selepas hakim membenarkan petisyen difailkan Streram.

Pengumuman hari ini menamatkan spekulasi Streram tidak akan diberikan peluang untuk menentang Mohamad yang memenangi kerusi itu ketika beliau menjadi menteri besar Negeri Sembilan.



Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang diumumkan sebagai pengarah pilihan raya PH bagi Rantau, bergambar bersama Dr Streram Sinnasamy (kiri) dalam sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Rantau mempunyai 20,926 pengundi dengan kira-kira 27% terdiri daripada orang India dan 21% Cina.

PRK Rantau ialah yang ke-7 selepas PRU14, dengan PRK DUN Sungai Kandis diadakan pada 4 Ogos lalu, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).

‘Streram layak bertanding’

Hari ini, Anwar berkata, pemilihan Streram mengambil kira semua faktor, termasuk kerjasama rasmi Umno-PAS untuk menarik undi Melayu.

Katanya, PKR merasakan Streram layak bertanding kerana beliau berusaha mencabar keputusan PRU14, selain kelayakan akademiknya dan kerja di peringkat akar umbi.

Beliau percaya Streram akan berjuang habis-habisan menentang Mohamad.

“Kami akan bekerja keras. Kami tahu ia adalah kubu kuat dia (Mohamad) dan Umno,” kata Anwar.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.