Header

Tak ada kejinya jadi pembangkang, kata bekas MP


Sabah kini menjadi bahan ketawa di seluruh dunia ekoran tindakan beberapa wakil rakyat negeri itu melompat parti, kata anggota Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan.

Katanya amalan melompat parti juga suatu perbuatan yang keji serta memalukan, selain menderhakai kepercayaan diberikan rakyat kepada wakil rakyat terbabit.

"Ia memperbodohkan proses demokrasi dan pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman yang juga bekas menteri membuat kenyataan itu sehari selepas Adun Tandek, Anita Baranting, keluar dari Parti Bersatu Sabah (PBS) selepas 34 tahun bersama parti itu.

Anita kemudian mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Warisan Sabah (Warisan) yang kini mentadbir negeri tersebut. Warisan dipimpin bekas naib presiden Umno Mohd Shafie Apdal.

Pada 4 Mac lalu pula Adun Balung, Osman Jamal, terlebih dulu menyertai Warisan. Untuk rekod sebelum itu Osman mengumumkan tindakannya keluar Umno dan menyertai PKR.

Menurut laporan media Osman menjadikan faktor pembangunan sosial dan fizikal di Balung sebagai alasan dia menyertai Warisan.

Sejarah 25 tahun dulu

Beberapa hari selepas PRU ke-14 pada Mei lalu lima Adun BN menukar haluan mereka dengan memberi sokongan kepada Warisan sehingga membantu Mohd Shafie memiliki majoriti dalam DUN, seterusnya membentuk kerajaan Sabah.

Bagaimanapun untuk rekod BN dan Umno juga pernah mendapat faedah daripada amalan bertukar parti atau melompat parti seperti itu.

Pada 1994 Presiden PBS Joseph Pairin Kitingan terpaksa menunggu selama kira-kira 36 jam di luar Istana Negeri untuk mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Dalam tempoh itu jugalah beberapa Adun PBS keluar parti sehingga akhirnya BN kembali mendapat suara majoriti di DUN Sabah.

Gambar arkib

Abdul Rahman berkata tidak ada apa yang boleh dianggap hina jika seseorang Adun menjadi pembangkang.

Malah katanya tanggungjawab sebagai wakil pembangkang sepatutnya dibanggakan kerana peranannya yang penting dalam demokrasi sebagai ejen semak dan imbang kerajaan.

"Apa pun alasan yang diberikan oleh YB-YB yang melompat ini, ianya tidak dapat menghilangkan kemarahan rakyat kepada mereka.

"Alasan kononnya untuk menjaga kepentingan rakyat yang diwakili mereka adalah alasan tidak masuk akal," katanya.

Bekas anggota parlimen Kota Belud itu juga berkata hanya ada satu saja alasan yang boleh diterima akal untuk seseorang wakil rakyat melompat parti, iaitu demi kepentingan diri, jawatan dan kuasa.

"Tidak lebih dan tidak kurang dari itu," katanya.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.