Header

Tiada kerjasama dengan PAS buat masa ini, kata Umno Sabah


KOTA KINABALU: Umno Sabah tiada niat membentuk sebarang pakatan dengan parti-parti lain selain komponen Barisan Nasional pada masa ini, walaupun pakatan Umno-PAS di Semenanjung membuahkan hasil.

Timbalan Ketua Yakub Khan berkata Umno Sabah tumpu kepada pengukuhan dan menstabilkan parti selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya umum lepas.

“Kami melihat bagaimana gabungan Umno-PAS berjaya mengalahkan parti-parti kerajaan dalam 2 pilihan raya kecil di Cameron Highlands dan Semenyih.

“Tetapi di Sabah, kami masih belum memutuskan mana parti yang kita mahu bekerjasama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persindangan Umno Putatan hari ini.

Beliau berkata Umno Sabah meminta autonomi daripada Umno nasional dan beliau percaya ia akan diberikan tidak lama lagi.

“Dengan kuasa autonomi, kita mempunyai kebebasan memilih rakan kongsi sendiri. Kami tidak akan terikat dengan pilihan yang dibuat di peringkat nasional.”

Beliau berkata partinya masih bekerjasama rapat dengan sekutu BN di Sabah iaitu MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain memberitahu kerjasama dengan PAS hanyalah usaha menjadi blok pembangkang yang berkesan.

Aziz bagaimanapun mengingatkan keadaan di Sabah berbeza dengan Semenanjung termasuk demografi penduduknya.

“Kami mempunyai sejumlah besar anggota bukan Islam dalam parti. Kami mempunyai antara 100,000 dan 158,000 ahli dari komuniti Kadazandusun Murut. Parti ini milik semua orang. Kami bukan etnik-sentris atau agama-sentris seperti parti-parti lain di negeri ini.

“Kami akan memperjuangkan kepentingan semua selagi ia selaras dengan peruntukan yang ditetapkan dalam perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Umno Sabah masih mempunyai bilangan terbesar anggota Umno di Malaysia walaupun jumlah sebenarnya mungkin berkurangan berikutan kekalahannya dalam pilihan raya tahun lepas.

Parti itu sedang mengemaskini senarai ahli tetapi menjangkakan penurunan jumlah ahli tidaklah lebih daripada 20% daripada 500,000 ahli asalnya.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.