Header

Tindakan kementerian bertentangan dasar pendidikan, akta bahasa


Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka kemasukan kepada pelajar lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, peluang kemasukan ini sebenarnya meneruskan dasar-dasar kerajaan terdahulu yang membenarkan kemasukan pelajar lepasan UEC dari Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Beliau berkata, tindakan kementerian ini seolah-olah menganaktirikan lepasan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) dan membuka ruang pihak lain untuk menuntut pengiktirafan sijil sedangkan jawatankuasa berkaitan UEC masih dalam peringkat kajian.

“Matlamat utama pendidikan ialah mewujudkan perpaduan dengan sekolah satu aliran. Membenarkan lulusan UEC akan mewujudkan dualisme pendidikan, sekaligus matlamat dasar pendidikan negara sukar direalisasikan.

“Justeru, iGuru berharap pihak KPM dapat mengkaji semula relevansi membenarkan lulusan UEC demi menjaga kepentingan nasional,” katanya.

Terdahulu, Ismaweb. Net melaporkan bahawa Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menguar-uarkan iklan bagi mempelawa lulusan UEC, Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU) untuk mengikuti program PISMP di laman sosial Facebook dan Twitter.

Berdasarkan laman web pismp.moe.gov.my, program itu meletakkan syarat lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred kepujian dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta lulus Sejarah, sebagai syarat akademiknya.

Pun begitu, ia juga meletakkan syarat tambahan yang mana membenarkan lulusan UEC dengan sekurang-kurangnya tiga gred kepujian pada peringkat Sijil Senior Middle Level (UEC-SML), untuk turut sama memohon program berkenaan.

Turut memberi komentar berhubung isu itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam laman Twitter berkata, Barisan Nasional (BN) juga pernah melakukan perkara yang sama ketika pemerintahannya dahulu.

“BN pun pernah buat pengambilan sama pada tahun 2012 dan 2016 untuk penempatan guru ke SJKC dan sekolah agama. Bukan perkembangan baharu dan tak perlu dipolitikkan,” kata Khairy.


DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.