Header

Tun M Menjadikan Umno Dan Pas Berbaik, Najib Menjadikan Tun M Dan Anwar Berbaik


Wujudnya kerjasama UMNO dan Pas sekarang ini, setelah berpuluh tahun kedua-dua parti itu bermusuhan serta bercakaran, tidak lain ialah kerana Tun Mahathir Mohamad.

Hanya kerana Tun Mahathir berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua bersama PH dengan menumbangkan UMNO dan BN serta menyingkirkan Najib Razak dalam PRU14 lalu, itulah sebenarnya yang menggerakkan kedua-duanya untuk bersatu.

Jika hari ini BN masih berkuasa dan Najib kekal sebagai Perdana Menteri, tidak ada sebab untuk UMNO sedia merendahkan diri mahu bekerjasama dengan Pas.

Kiranya UMNO masih berkuasa juga, Pas pun barangkali tidak pernah teringin untuk bersama dengan parti yang pernah ditaghut dan dikafirkannya itu.

Dalam beberapa komen sebelum ini, Pas memang terlihat agak keras keras dalam soal bekerjasama dengan UMNO, termasuk memberi syarat parti itu mesti menerima Islam sebagai perjuangannya terlebih dahulu jika ingin bekerjasama.

Tuan Ibrahim Tuan Man dengan nada keras pernah berkata, daripada bekerjasama dengan UMNO, lebih baiklah Pas dibubarkan saja.

Makna kata, Pas memang menolak keras dan tidak ingin sama sekali untuk saling bekerjasama dengan UMNO.

Tetapi, dengan takdir Tuhan yang menjadikan UMNO hilang kuasa dan Tun Mahathir kembali sebagai Perdana Menteri, kedua-dua parti jadi lembut hati untuk bekerjasama, walhal UMNO masih lagi dengan perjuangan assabiyah atau kebangsaannya dan tidak menukar apa-apa dalam perjuangannya.

Setelah bekerjasama ini juga langsung tidak berbunyi lagi hujah tentang lebih baik Pas dibubarkan saja daripada bekerjasama dengan UMNO.

Pas juga tidak pernah lagi meminta supaya UMNO menukar perjuangannya daripada kebangsaan kepada Islam.

Realitinya, UMNO dan Pas kena berterima kasih kepada Tun Mahathir atas sumbangannya menyatukan kedua-dua parti itu.

Selain itu, tergeraknya UMNO dan Pas untuk bekerjasama juga tentulah kerana Tun Mahahir sudah pun ada wadah baru iaitu Bersatu untuk meneruskan perjuangannya.

Kalau Tun Mahathir masih ada dalam UMNO, tidak mungkin penyatuan itu berlaku kerana bukan saja bekas Presiden UMNO itu akan menentangnya, malah Pas juga rasanya tidak mahu berbaik-baik dengan UMNO yang masih ada Tun Mahathir di dalamnya.

Sekali lagi, jika penyatuan kedua-dua parti itu ada kebaikannya di masa depan nanti, UMNO dan Pas seharusnya berterima kasih buat kali kedua kepada Tun Mahathir.

Begitu pun, sokongan UMNO dan Pas kepada kepimpinan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri jika ada undi tidak percaya dilakukan terhadapnya langsung tiada kena mengena dengan perasaan berterima kasih itu.

Itu tidak lain adalah cubaan UMNO dan Pas untuk menjolok supaya Tun Mahathir terus berkuasa sehingga PRU15 dan mengingkari perjanjian peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, seterusnya menjadikan PH berpecah serta berantakan.

UMNO dan Pas sedar jika peralihan kuasa berjalan dengan lancar dan Anwar menjadi Perdana Menteri seterusnya, harapan mereka untuk menggugat PH yang terus bersatu padu dalam PRU15 adalah teramat sukar.

Tambahan lagi, dengan rekod kepimpinan Islamik dan kepedulian kepada rakyat yang mampu dipertingkatkan lagi oleh Anwar setelah bergelar Perdana Menteri, UMNO dan Pas mungkin berada lebih lama sebagai pembangkang bersama di negara ini.

Dalam waktu yang sama, jika Tun Mahathir dianggap berperanan menyatukan UMNO dan Pas, orang yang secara tidak langsung memulihkan semula hubungan Tun Mahathir dan Anwar ialah Najib Razak.

Jika Najib tidak jadi Perdana Menteri, apatah lagi jika tanpa 1MDB atau tiada tanggapan kleptokrasi yang dikaitkan dengannya, Tun Mahathir mungkin akan terus bermusuhan dengan Anwar sampai ke mati.

Hanya kerana ingin menyingkirkan Najib, Tun Mahathir tiada pilihan lain selain perlu berbaik semula dengan Anwar.

Tetapi, bagaimana hubungan Tun Mahathir dengan Najib akhirnya nanti?

Adakah sesiapa dalam tahun-tahun mendatang yang akan menjadi sebab mereka berbaik semula atau permusuhan kedua-duanya akan dibawa sehingga ke lubang kubur?

Shahbudin
1
0/03/2019
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.