Header

Umno-PAS saling memerlukan MCA, MIC


Apabila MCA dan MIC menyatakan akan keluar daripada Barisan Nasional beberapa hari lalu kerana “perkahwinan” Umno dan PAS, penulis mengemukakan reaksi spontan dalam media sosial bahawa hasrat 2 parti bukan Melayu-Islam itu hanyalah “wayang” atau lakonan.

Ada pula netizen memberi komen yang bermaksud begini: “Keluarlah. Hendak pergi ke mana? Dunia ini bulat, pusing-pusing di situ juga.”

Seorang lagi netizen yang pernah berkhidmat dengan MCA ketika parti itu kuat dahulu berkata, parti itu sudah “habis”, seperti juga Gerakan.

Tetapi, hanya beberapa hari berlalu, MCA dan MIC menyatakan mereka akan terus bersama Umno dalam Barisan Nasional. Dengan itu, BN terus wujud dengan adanya ketiga-tiga parti asal Perikatan, iaitu Umno, MCA dan MIC.

Andai kata MCA dan MIC keluar, maka BN akan terbubar, tetapi perkara itu tidak berlaku kerana Umno masih memerlukan MCA dan MIC. Begitu juga PAS yang kelihatan mahu berbaik dengan MCA dan MIC.

Masalah bagi MCA dan MIC adalah kerjasama Umno dan PAS, tetapi PAS menyatakan mereka bukanlah bergabung dengan Umno atau menyertai BN. Hubungannya adalah dengan Umno, bukannya BN. Maka, MCA dan MIC hanya berurusan dengan Umno melalui BN, bukannya PAS.

Sama ada kenyataan awal MCA dan MIC hendak keluar BN itu merupakan lakonan politik atau sememangnya pendirian sebenar mereka tidak ketahui. Ini mungkin pendirian sebenar dan perubahan sikap mereka juga benar kerana mereka mengubah pendirian apabila melihat kerjasama Umno dan PAS itu bukanlah gabungan. Ditambah pula, Umno tetap bersikap mesra dengan MCA dan MIC.

Benar kata netizen yang merupakan seorang profesor bersara dengan bertanya ke manakah hala tuju MCA dan MIC. Begitu juga benar kata bekas wartawan yang pernah berkhidmat untuk MCA bahawa parti itu sudah “habis” selepas pilihan raya umum ke-14 lalu.

Maka, pilihan MCA dan MIC jika hendak terus wujud adalah sama ada menjadi penyokong kerajaan atau pembangkang. Kalau hendak menjadi pembangkang, persoalannya adakah ia mahu menyertai pembangkang utama masa kini, iaitu Umno atau menjadi kuasa ke-3?

Tetapi, sejarah sejak 60 tahun lalu menunjukkan sesuatu pihak sama ada menjadi kerajaan atau pembangkang utama kerana kuasa ke-3 tidak mendatangkan hasil, ia hanya menghakiskan sokongan terhadap parti pembangkang utama. PRU14 membuktikan pembangkang boleh menjadi kerajaan jika mereka bersatu.

Ada pihak termasuk PAS mahu menampilkan diri sebagai “king maker” atau penentu kemenangan, tetapi hakikatnya semua parti di Malaysia yang bukan dominan adalah “king maker”, termasuk MCA dan MIC.

Malah, kedudukan PAS yang bekerjasama dengan Umno buat masa ini adalah terus berperanan sebagai “king maker”, bukannya rakan kongsi setaraf atau “equal partner” dengan Umno.

Ini kerana realiti politik moden Malaya dan Malaysia sejak 1955 menunjukkan parti dominan semestinya daripada kalangan nasionalis Melayu, sementara parti lain hanyalah “king maker”.

Namun begitu, parti dominan tidak boleh membolot semua kuasa. Keadaan itu tidak stabil. Mereka tetap memerlukan parti lain yang berperanan sebagai “king maker”.

Parti nasionalis Melayu di sini bukan saja bermaksud Umno, tetapi juga mana-mana parti yang menjadi pecahannya termasuklah PPBM dan dahulu, Semangat 46.

Jadi, selama ini BN menjadi kerajaan dengan Umno sebagai parti dominan. Ia hanya dapat ditumbangkan apabila muncul PPBM yang menjadi parti utama Pakatan Harapan.

Walaupun kerusi yang dimenangi PPBM tidak sebanyak PKR, tetapi kedudukannya sebagai parti nasionalis Melayu dipimpin Dr Mahathir Mohamad yang merupakan tokoh legenda nasionalis Melayu, membuka ruang kepada kekalahan Umno dan BN.

PAS pula walaupun merupakan parti pecahan Umno, tetapi ia tidak boleh menjadi dominan kerana ia bukanlah parti nasionalis Melayu, sebaliknya parti Islamis.

Maka, dalam sejarahnya, walaupun ia merupakan pecahan Umno, tetapi rohnya berasal daripada parti Islamis pertama Malaysia, iaitu Hizbul Muslimin.

PKR pula berada dalam keadaan berbeza. Ia dilihat sebagai parti pecahan Umno ketika mula ditubuhkan sebagai Parti Keadilan Nasional, tetapi ia bukan nasionalis Melayu dengan keanggotaannya terdiri daripada pelbagai kaum.

Malah, dengan penyertaan pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan menyebabkan ia bukan parti nasionalis Melayu, ditambah pula penggabungannya dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebuah parti aliran kiri.

Parti pimpinan Anwar Ibrahim ini melalui agenda Reformasi mahu memperkenalkan politik demokratik dengan keluar daripada kongkongan perkauman, tetapi melihat pencapaian PKR sejak 1999, parti ini secara keseluruhan ditolak orang Melayu. Ia hanya berjaya menjadi kerajaan apabila pakatannya turut disertai PPBM.

Tetapi, ketika adanya Pakatan Rakyat, PKR menjadi parti dominan kerana sifatnya yang hampir menjadi parti nasionalis Melayu. PAS tidak senang dengan keadaan ini kerana merasakan diri lebih besar daripada PKR dan sepatutnya dominan dalam Pakatan Rakyat. Tetapi, perkara ini tidak boleh diterima kerana PAS ialah parti Islamis.

DAP boleh menerima parti nasionalis Melayu, tetapi bukan parti Islamis sebagai parti dominan, hanya sekadar sebagai parti sekutu.

DAP seperti MCA dan MIC, begitu juga Gerakan dari awal sedar mereka tidak boleh menjadi parti dominan. Sebab itu, MCA dan MIC menyertai Perikatan. Malah Parti Tindakan Rakyat (PAP) juga meminta Tunku Abdul Rahman menerima mereka sebagai anggota Perikatan, tetapi untuk menggantikan MCA.

Gerakan menyertai BN dan DAP menyertai Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan PH sebagai parti sekutu, bukannya parti dominan.

Selain parti bukan Melayu dan parti Islamis yang tidak boleh menjadi dominan, parti aliran kiri dan parti Sarawak serta Sabah pun tidak boleh menjadi parti dominan di negara ini. Mereka hanya boleh menjadi parti “king maker”.

Satu lagi realiti politik Malaysia ialah tiada tempat bagi “third force” atau kuasa ke-3. Dalam PRu14, PAS menampilkan diri sebagai kuasa ke-3 sehingga menyebabkan berlaku pertandingan 3 penjuru. Kuasa ke-3 pasti tidak boleh menjadi kerajaan.

Namun begitu, dalam PRU14, penampilan PAS sebagai kuasa ke-3 adalah “wayang” kerana ia berperanan sebagai pemecah undi pembangkang untuk memberi kemenangan kepada BN di peringkat pusat.

Bagaimanapun, ia adalah strategi salah. Sebaliknya, jika ia bersatu dengan Umno, BN boleh menang seperti apa yang berlaku di pilihan raya kecil Cameron Highlands dan Semenyih.

Begitu juga Parti Sosialis Malaysia yang mahu menjadi kuasa ke-3. Bukan saja ia kalah teruk pada PRU14, tetapi juga gagal dalam PRK Semenyih, sedangkan PSM turut mendapat tempat dalam PRU12 dan PRU13 sebagai sebahagian Pakatan Rakyat.

Dalam sejarah juga, parti aliran kiri tidak boleh menjadi dominan. Ini dilalui PRM walaupun mereka menjadi parti utama dalam Barisan Sosialis.

PRM ditubuhkan sebagai pewaris Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), tetapi jika pengasas PRM menubuhkan PKMM sebagai parti nasionalis Melayu, maka nasib parti aliran kiri Melayu mungkin berbeza.

ZIN MAHMUD



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.