Header

Bekas ketua perisik saman SPRM beku akaun bank


KUALA LUMPUR: Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi mencabar tindakan agensi itu membekukan akaun banknya sejak September tahun lalu.

Saman pemula itu difailkan Hasanah selaku pemohon pada 28 Mac lalu menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co dengan menamakan SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan ke-2.

Dalam saman itu, Hasanah, 61, memohon perintah deklarasi yang perintah larangan ke atas akaun bank itu bertarikh 3 September 2018 yang dikeluarkan timbalan pendakwa raya SPRM terbatal dan tidak sah.

Beliau turut memohon perintah deklarasi yang perintah larangan terhadap akaun itu yang dibuat mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM bertentangan atau bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Hasanah mendakwa SPRM tidak pernah memaklumkan kepadanya berkaitan perintah larangan ke atas akaun banknya sepanjang beliau direman pada 29 Ogos 2018 dan dibebaskan daripada reman pada 3 September 2018.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapati urusan perbankannya gagal ketika berurusan pada keesokannya (4 September 2018).

Menurut Hasanah, beliau kemudiannya menghubungi pegawai penyiasat SPRM bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai akaun bank itu dan pegawai itu menyatakan akaun bank hanya dibekukan sementara mengikut prosedur siasatan biasa SPRM.

Katanya, 5 pucuk surat dihantar kepada SPRM antara 9 Oktober dan 18 Disember 2018 bagi memohon pelepasan pembekuan akaun bank itu.

Bagaimanapun, pada 6 Disember tahun sama, Bahagian Siasatan SPRM menjawab permohonan untuk pelepasan akaun itu dengan mengatakan ia tidak dapat dipertimbangkan, katanya dalam afidavit tersebut.

Hasanah mendakwa beliau mengalami kesukaran untuk menyara kehidupannya yang bergantung sepenuhnya kepada duit pencen yang dimasukkan ke dalam akaun bank berkenaan selain tidak mempunyai sumber pendapatan lain melainkan wang gaji dan wang pencen tersebut.

Sementara itu, peguam, Nur Aifaa Mohd Zin yang mewakili Hasanah ketika ditemui pemberita berkata, kes saman itu ditetapkan hari ini untuk pengurusan kes di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Idamasliza Maarof yang kemudiannya menetapkan 17 Mei ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri timbalan pendakwa raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Muhamad Asyraf Md Kamal mewakili SPRM.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.