Header

Penjaja bazar Ramadan kesal DBKL masih buntu isu pertindihan tapak jualan


PETALING JAYA: Sebanyak 16 persatuan penjaja pasar malam dan bulan puasa hari ini kesal terhadap pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung proses pemilihan perniagaan bazar Ramadan yang masih belum menemui jalan penyelesaian.

Hal ini susulan, tindakan DBKL mengeluarkan borang permohonan perniagaan secara atas talian yang menyebabkan pertindihan tapak penjaja pasar malam dan bazar Ramadan.

Jurucakap persatuan penjaja bazar Ramadan, Abdul Hadi Mustafar berkata, masalah itu tidak akan berlaku sekiranya DBKL menyerahkan pengurusan tapak kepada persatuan di kawasan masing-masing.

Hal ini kerana, pihak persatuan lebih mengenali penjaja yang menjual di pasar malam dan peniaga yang menjual juadah di bazar Ramadan, lalu mengelakkan pertindihan tapak jualan.
 
“Tapi DBKL tak tahu, mereka tak kenal dan tidak boleh kenal pasti siapa yang jual di pasar malam dan menjaja di tapak waktu bulan puasa,” katanya selepas perjumpaan dengan pegawai tinggi DBKL di Tingkat 5, Menara DBKL 2, hari ini.

Hadi Mustafar.

Jelas Hadi, jika pertindihan tidak diselesaikan sebelum puasa bermula, beliau dan rakan-rakan persatuan khuatir akan berlaku adegan yang tidak diingini.

“Mesti akan ada kekecohan dan pertelingkahan di tapak nanti,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail berkata, tawaran DBKL untuk bekerjasama dengan persatuan penjaja sudah terlewat.

Jelasnya, persatuan penjaja terlebih dahulu sudah menawarkan kerjasama sebelum permohonan perniagaan bazar atas talian dibuka, namun DBKL tidak menghiraukan pelawaan tersebut.

“Sekarang dah bertindih, baru nak minta kerjasama kami. Dah terlambat,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Penjaja Pasar Malam dan Bazar Ramadan KL, Gullam Muszafar Gullam Mustaqim berkata, penjaja tidak akan bekerjasama kepada DBKL selagi tidak ada garis panduan tapak gerai yang baru.

“Jika tiada juga, tunggu saja lah. Mungkin akan ada pertelingkahan di hari pertama jualan nanti. Kami tiada kuasa nak mengalihkan mana-mana tapak peniaga,” katanya.

Kata Muszafar, keadaan akan menjadi lebih teruk apabila hari meniaga pasar malam dan hari meniaga juadah bulan puasa jatuh pada hari yang sama.

Hal ini kerana, peniaga akan berebut tapak yang sama pada tempoh berkenaan.

“Contohnya saya meniaga laksa di tapak bazar Ramadan dan saya datang pada Sabtu. Tiba-tiba ada orang meniaga baju di tapak saya.

“Bagaimana? Takkan saya mahu usir peniaga tersebut dan letakkan periuk kuah laksa saya di situ? Inilah yang kami katakan rumit,” jelasnya.

Tambahnya lagi, selain pertindihan tapak pasar malam dan bazar Ramadan, saiz tapak dan waktu meniaga juga berbeza.

Media dimaklumkan, saiz tapak pasar malam berukuran 5×3 kaki, manakala untuk bazar Ramadan pula, 8×8 kaki.

“Tempoh meniaga pula, bazar Ramadan bermula 2.00 petang hingga 8.00 malam. Tapi untuk penjaja pasar malam, mereka mula meniaga pada 4.00 petang hingga 10.00 malam,” katanya.

Atas sebab itu, mustahil bagi seseorang penjaja untuk berkongsi tapak gerai yang sama dalam tempoh meniaga yang berbeza.

Muszafar berkata, pihaknya dimaklumkan tiada keputusan dibuat setakat ini kerana DBKL baru merancang untuk membuat perbincangan dengan pihak atasan.

“Kesudahannya, perjumpaan hari ini, masih tiada kata putus dan keputusan muktamad,” katanya.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.