Header

Sultan Johor mahu exco dirombak, panggil Osman kali kedua


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima menghadap Osman Sapian di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pagi ini.

Osman memberitahu perkara itu kepada wartawan selepas menghadap baginda bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai menteri besar Johor.

Ketika ditanya Malaysiakini sama ada Sultan Ibrahim menerima peletakan jawatan tersebut, Osman melalui sistem pesanan ringkas menjawab "Tak tahu".

Pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya, Osman berkata Sultan Ibrahim tidak melihat surat peletakan jawatan itu.

Beliau menambah sultan juga menetapkan syarat agar penggantinya perlu merombak barisan exco negeri.

"Saya sudah serahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan baginda tidak melihat serta menganggap surat itu sebagai cenderahati.

"Sultan Johor meletakkan syarat untuk membuat rombakan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco) kepada bakal penyandang menteri besar baru," katanya.

Osman berkata beliau menjangka isu peletakan jawatan itu akan dibincangkan lebih lanjut ketika menghadap Sultan Ibrahim kali kedua petang ini.

Ditanya mengenai alasan sultan mahu exco dirombak, Osman berkata beliau tidak dapat menjawab bagi pihak baginda.

Mengenai alasan beliau meletakkan jawatan, Osman berkata "Saya fikir ia sudah diketahui. Tidak perlu saya memperincikannya."

Isnin lalu Osman mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir dan istana Johor sejak itu saling bertelingkah mengenai siapa yang berhak menentukan pelantikan jawatan menteri besar.

Mahathir berkata, Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara demokrasi sekiranya sultan menentukan calon menteri besar atau perdana menteri.

Sebelum itu, Sultan Ibrahim memberi amaran agar pihak-pihak tertentu tidak campur tangan dalam urusan negeri itu.

Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata ia adalah hak mutlak Sultan Ibrahim untuk melantik menteri besar.



DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily


Iklan Berbayar :
Anda Sakit Lutut? Sakit Tulang Belakang?Slip Disc? Sukar Solat Berdiri.. Cuba Ikhtiar Disini❯❯❯KLIK SINI❮❮❮

No comments

Theme images by billnoll. Powered by Blogger.